KUALA LUMPUR 13 Okt – Sektor teknologi kini berdepan ancaman tinggi apabila risiko kenaikan kos semakin ketara, dipacu ketegangan perdagangan cip melonjak antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut Public Investment Bank, isu gangguan rantaian bekalan unsur nadir bumi dikhuatiri memberi kesan domino kepada margin pengeluar cip dan fabrikasi global, termasuk pemain utama rantau Asia.
Kata firma penyelidikan itu, China secara mengejut memperluaskan kawalan eksport nadir bumi minggu lalu dengan menambah lima unsur strategik baharu dalam senarai kawalan sebelum AS bertindak balas.
"AS mengenakan tarif 100% dan sekatan eksport perisian reka bentuk cip lanjutan dengan dua kuasa besar itu menjadikan isu teknologi sebagai ‘senjata' ekonomi dalam rundingan geopolitik," katanya.
Tambah PublicInvest dalam notanya, unsur holmium, erbium, thulium, europium dan ytterbium amat kritikal dalam proses fabrikasi cip serta penghasilan peralatan semikonduktor berteknologi tinggi.
Jelas firma itu, mesin cip daripada syarikat seperti ASML dan Applied Materials banyak bergantung secara langsung kepada komponen magnet berketepatan tinggi serta laser yang menggunakan unsur ini.
Justeru katanya, sebarang kawalan ketat ke atas bahan mentah ini dijangka menyebabkan lonjakan harga input bagi pengeluar cip lanjutan serta kelewatan bekalan bahan untuk peralatan fabrikasi.
"Kami berpendapat, kesan tekanan kos kepada margin pengeluar teknologi global dan tekanan harga ini berpotensi memberi kesan negatif kepada keuntungan syarikat teknologi," tambah PublicInvest
Impak secara ketara jelas firma penyelidikan berkenaan, tentu paling dirasai terutamanya kepada syarikat yang mempunyai tahap kebergantungan amat tinggi terhadap komponen berpangkalan di China.
Susulan perkembangan ini, ia menjangkakan reaksi pengambilan untung dalam saham teknologi memandangkan sentimen pelabur yang kian berhati-hati serta penilaian semasa sektor yang tinggi.
Bagaimanapun, PublicInvest masih melihat perkembangan tersebut sebagai peluang untuk pelabur dapat mengumpul saham yang berkualiti berikutan kelemahan dagangan harga syarikat berkenaan sendiri.
"Sehubungan itu, kami mengesyorkan syarikat pemacu automasi digital, Cloudpoint Technology, dan Mi Technovation yang terdedah tinggi kepada pasaran luar sebagai saham pilihan," kata firma tersebut.
Dalam pada itu, jelasnya, Taiwan tidak terkesan secara langsung kerana sumber nadir bumi utamanya datang dari Eropah, AS dan Jepun, manakala cuma 30% bahan mentah masih bergantung kepada China.
Secara keseluruhan kata PublicInvest, dengan isu ketegangan cip berterusan dan kawalan eksport yang semakin meluas, sektor teknologi kini berada dalam zon risiko kos dan ketidaktentuan bekalan.
Ia menyarankan pelabur untuk memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai rantaian bekalan stabil, fokus kepada produk bernilai tambah tinggi serta kukuh dari segi aliran tunai. - DagangNews.com








