KUALA LUMPUR 28 Nov – CAB Cakaran Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM20 juta bagi suku keempat berakhir 30 September 2025, meningkat 105.13% berbanding tempoh sama FY24.
Lonjakan ini disokong oleh kecekapan operasi dalam perniagaan ternakan ayam bersepadu, termasuk pengurangan 10% melibatkan kos makanan dan pendapatan dividen lebih tinggi daripada anak syarikat.
Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025 pula, keuntungan bersih CAB didapati masih berupaya meningkat sebanyak 20.11% kepada RM90.65 juta walaupun hasil menurun sedikit 0.43% kepada RM2.31 bilion.
"Bahagian runcit juga menunjukkan pemulihan keuntungan operasi RM0.33 juta, berbanding kerugian RM0.22 juta pada FY24, manakala jumlah cawangan meningkat kepada 16," katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, prestasi yang kukuh pada 4QFY25 menandakan suku keuntungan kelapan berturut-turut tanpa penglibatan langsung subsidi kerajaan.
Ini turut menunjukkan kemampuan CAB berkembang secara mampan, dan menambah, pengambilalihan Cargill Feed yang dijangka selesai November 2025 akan menyumbang sepenuhnya pada FY26.
"Usaha tersebut bakal membuka kunci bekalan makanan haiwan yang lebih stabil serta menjimatkan kos kepada kumpulan, serta menyokong rancangan pertumbuhan jangka panjang syarikat," jelas beliau.
Selain itu ujarnya, CAB memulakan operasi di Indonesia bersama The Salim Group, dengan rancangan pelaksanaan menjelang suku kedua 2026, dan menjangkakan FY26 menjadi tahun pertumbuhan kumpulan.
Ia disebabkan sumbangan penuh daripada usaha baharu, termasuk Cargill, namun walaupun prospek cerah, syarikat itu akan terus bekerja keras untuk memastikan semua perniagaan dijalankan cekap. - DagangNews.com








