Kos kredit lebih rendah pacu untung Aeon Credit pada 9MFY26, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos kredit lebih rendah pacu untung Aeon Credit pada 9MFY26, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 DisRHB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Aeon Credit Service (M) Berhad dengan harga sasaran (TP) yang juga masih tidak berubah kepada RM6.70 sesaham.


Situasi itu jelas firma tersebut, mencerminkan potensi kenaikan 21% serta hasil dividen sekitar 5% bagi FY26, disokong oleh pemulihan kukuh pendapatan suku tahunan disebabkan penurunan kos kredit.


Katanya, keputusan pada tempoh 9MFY26 secara keseluruhan menepati jangkaannya, dengan lonjakan dalam suku ke suku (QoQ) mencatatkan keuntungan bersih dipacu oleh kos kredit yang lebih rendah.


"Nisbah kutipan pula turut menunjukkan penambahbaikan QoQ dan tahun ke tahun (YoY), yang jika berterusan, akan menyokong lagi pengurangan kos kredit pada suku akan datang," kata RHB Research.


Bagaimanapun jelasnya, dengan 0.87 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) FY27, penilaian Aeon Credit menghampiri paras terendah 10 tahun, yang dilihat tidak sejajar rekod pulangan ke atas ekuiti (ROE).


Kumpulan itu mencatat keuntungan bersih 3QFY26 sebanyak RM92 juta (+27% QoQ, +48% YoY), menjadikan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) 9MFY26 kepada MYR242 juta (+1% YoY).


Artikel berkaitan: Untung bersih Aeon Credit melonjak 47.9% atau RM91.81 juta pada suku ketiga
 

Angka ini sekitar 69% daripada unjuran penuh tahun RHB Research, dengan jurang ini dijangka terus mengecil pada 4QFY26, disokong oleh penstabilan kualiti aset dan inisiatif pengukuhan kutipan.


"Pemacu utama peningkatan PATMI secara berurutan ialah kos kredit menurun kepada 4.2% daripada 5.1% pada 2QFY26, dan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) kekal stabil pada 2.48%," katanya lagi.


RHB Research menambah, ia naik 6 mata asas YoY, dan jika tidak termasuk pelupusan hapus kira, caj peruntukan kasar menyusut kira-kira 70% QoQ, membantu menurunkan kos kredit secara keseluruhannya.


Bagaimanapun, Aeon Credit mencatatkan jumlah pelupusan hapus kira kekal stabil pada RM199 juta, manakala pemulihan susut kepada RM50 juta, dengan liputan kerugian pinjaman (LLC) kekal 228%.


Pembiayaan kasar belum terima juga meningkat 13% YoY, dengan pertumbuhan tahunan 12.5% mengatasi sasaran pengurusan 10%, didorong oleh pembiayaan peribadi (16.7% YoY) dan kad kredit (19.5% YoY).


"Kami mengekalkan unjuran pendapatan namun memberi amaran risiko penurunan merangkumi pertumbuhan pembiayaan dan margin lebih lemah daripada jangkaan," kata RHB Research. - DagangNews.com