KUALA LUMPUR 26 Ogos – Keuntungan PETRONAS Gas Berhad (PGB) bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) memang terjejas susulan kos pembaikan saluran paip akibat insiden letupan di Putra Heights pada 1 April 2025.
TA Securities berkata, peristiwa berkenaan telah menyeret turun prestasi segmen pengangkutan gas kumpulan tersebut sehingga merosot sebanyak 23% tahun ke tahun (YoY).
Kos pemulihan bekalan gas fasa pertama berjumlah RM26 juta telah dibelanjakan sepenuhnya dalam suku itu, menyumbang kepada penurunan untung kasar kumpulan sebanyak 4.6% YoY kepada RM569 juta.
Menurut PGB, anggaran kesan kewangan keseluruhan insiden mencecah RM170 juta, dengan sebahagian besar dijangka ditetapkan sebagai perbelanjaan modal terkawal, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia.
“Lebih satu pertiga daripada impak RM60 juta yang dijangka menjejaskan FY25 telah dicatatkan dalam 2QFY25. Fasa kedua pembinaan paip kekal dijangka siap menjelang 3QFY26,” jelas TA Securities dalam nota penyelidikannya.
Biarpun terkesan sementara, keputusan kewangan bagi separuh pertama FY25 (1HFY25) kumpulan berkenaan adalah kekal sejajar dengan jangkaan.
PGB melaporkan keuntungan bersih teras RM912.6 juta, turun 2.7% YoY, yang memenuhi 49% daripada unjuran TA Securities dan konsensus pasaran.
Syarikat itu kata firma berkenaan, turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 16 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen 1HFY25 kepada 32 sen sesaham, bersamaan kadar pembayaran 69%.
Tekanan pada segmen pengangkutan gas telah diimbangi oleh pemulihan dalam segmen utiliti, apabila mencatatkan pertumbuhan untung kasar sebanyak 14% YoY, didorong oleh penurunan kos bahan api yang meningkatkan margin keuntungan.
Segmen pemprosesan gas juga menunjukkan sedikit peningkatan hasil daripada kos operasi yang lebih rendah, manakala segmen penggegasan sedikit terkesan oleh kos penyelenggaraan lebih tinggi pada suku tersebut.
Selain itu, PGB terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam infrastruktur gas negara, dengan prospek yang cerah sejajar inisiatif peralihan tenaga dari arang batu kepada gas asli.
Antara rancangan jangka sederhana hingga panjang termasuk pembangunan Terminal Penggegasan Ketiga (RGT-3) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
"Penyertaan PGB dalam tender loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) baharu kendalian Suruhanjaya Tenaga serta dua projek loji janakuasa CCGT yang sedang dibangunkan turut disenaraikan," kata TA Securities.
Ia melibatkan loji 100MW di Kimanis, Sabah secara usaha sama (JV) dengan NRG Consortium Sabah yang dijangka siap pada Mac 2026 bernilai RM700 juta dan loji 120MW di Labuan, diramal siap pada Januari 2028 denga kos hampir RM1 bilion.
Pada masa sama kata firma itu, PGB meninjau potensi dalam sektor Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS), terutama dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan melalui saluran paip darat, menggunakan infrastruktur sedia ada.
TA Securities mengekalkan saranan ‘beli' terhadap saham PGB, namun menaikkan harga sasaran kepada RM20.58 sesaham berbanding RM20.21 sebelum ini, setelah ia mengalihkan asas penilaian kepada unjuran FY26.
“Sebagai pemilik rangkaian gas terbesar di Malaysia, PGB berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada peningkatan permintaan tenaga bersih termasuk projek pusat data dan janakuasa baharu,” tambah firma itu.
PGB dijangka menawarkan hasil dividen stabil antara 4.2% hingga 5.0%, disokong oleh kontrak jangka panjang dan operasi perniagaan yang berasaskan kawal selia. - DagangNews.com








