Kos bahan binaan mahal projek pusat data dikhuatiri menekan untung Binastra pada FY27, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan binaan mahal projek pusat data dikhuatiri menekan untung Binastra pada FY27, kata RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 Mac – Peningkatan kos bahan binaan dan margin lebih rendah daripada projek pusat data (DC) kini menjadi isu kritikal yang diramal menekan keuntungan Binastra Corporation Berhad.

 

Menurut RHB Research, situasi berkenaan wajar diberikan perhatian oleh kumpulan pembinaan tersebut meskipun ia berjaya mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan 2026 (FY26).


Justeru, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham dan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.72, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 37% serta hasil dividen kira-kira 4% bagi FY27.


"Binastra merekodkan keuntungan teras RM133.4 juta bagi FY26, naik 48% tahun ke tahun (YoY) selari dengan jangkaan, disokong buku tempahan kukuh bernilai RM7.1 bilion," katanya dalam nota hari ini.


RHB Research menambah, keadaan itu juga memberikan nisbah perlindungan buku tempahan kepada hasil sebanyak 4.7 kali, sekali gus menyokong keterlihatan pendapatan untuk beberapa tahun akan datang.


Bagi suku keempat FY26, keuntungan teras melonjak 66% kepada RM41.4 juta, didorong pengiktirafan lebih banyak projek dalam tangan, walaupun margin bersih sedikit susut kepada kira-kira 8.7%.


Perkembangan tersebut jelas firma penyelidikan itu, berikutan peningkatan daripada sumbangan banyak projek DC yang kelazimannya mempunyai margin lebih rendah sekitar 5% hingga 6% sahaja.
 

Binastra


"Mengulas prospek, kami menjangkakan pertumbuhan hasil berterusan dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) mencecah sebanyak 19% bagi tempoh FY26 hingga FY29," kata RHB Research.


Keadaan itu disokong oleh strategi pengembangan Binastra ke dalam segmen DC dan tenaga boleh diperbaharui (RE), selain menyasarkan perolehan kontrak baharu melebihi RM2 bilion bagi FY27.


Jelas firma berkenaan, nilai kontrak diperoleh setakat ini mencecah RM819.5 juta, selepas kejayaan besar meraih projek yang bernilai kira-kira RM2.5 bilion di Johor Bahru, Johor sepanjang FY26.


Selain itu kata RHB Research, penglibatan dalam segmen DC turut dipacu anak syarikat 51% miliknya, LF Lansen, dengan prestasi keuntungan hampir menyamai keseluruhan FY25 dalam tempoh 10 bulan FY26.


"Pendedahan kos diesel adalah minimum, iaitu 1% daripada struktur keseluruhan, manakala sebarang kenaikan harga bahan seperti keluli dan simen boleh dirunding dengan pemilik projek," tambahnya.


Walaupun saham Binastra diniagakan pada penilaian rendah berbanding kitaran pembinaan terdahulu, firma itu melihat diskaun tersebut sebagai tidak wajar kerana kepelbagaian segmen perniagaannya.


Bagaimanapun jelas RHB Research, risiko utama kekal pada kelembapan dalam pengisian semula buku tempahan yang boleh menjejaskan momentum pertumbuhan masa hadapan. - DagangNews.com