Koop Sahabat terus aktif tawar perkhidmatan Ar-Rahnu, buka cawangan pertama di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Koop Sahabat terus aktif tawar perkhidmatan Ar-Rahnu, buka cawangan pertama di Sabah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (AIM) akan terus memperkasakan perkhidmatan pajak gadai secara kewangan Islam atau Ar-Rahnu bagi membantu masyarakat Islam agar bebas daripada dibelenggu amalan riba.

 

Menurut Pengerusinya, Mohd Najib Mohd Noor, Koop Sahabat merupakan antara koperasi yang produktif dalam melebarkan aktiviti Ar-Rahnu, sepanjang tempoh selama 13 tahun penubuhannya dengan ketika ini memiliki lebih daripada 30 buah cawangan.

 

“Sahabat Ar-Rahnu ditubuhkan oleh Koop Sahabat bukan hanya dari sudut aktiviti perniagaan semata-mata, tetapi ia ada objektif lebih besar iaitu untuk memberi kesedaran kepada komuniti dan memecah monopoli sistem pajak gadai konvensional," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sahabat Ar-Rahnu Koop Sahabat Cawangan ke-34 di Tawau yang juga cawangan pertama di negeri Sabah oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Bersara, Datuk Ahmad Norihan Jalal.
 

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Mazri Mahmood. Ar-Rahnu merupakan satu bentuk perkhidmatan kewangan Islam yang unik dan telah memainkan peranan penting dalam aspek pembangunan ekonomi patuh syariah di Malaysia.
 

Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata, aktiviti Sahabat Ar-Rahnu sendiri telah dapat menyumbang sebanyak 30 peratus kepada kadar keuntungan koperasi berkenaan sepanjang 2024, serta menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada tahun lepas.
 

"Bahkan kita mendapati ada peningkatan kira-kira 25 peratus dalam jumlah marhun iaitu sebanyak RM461 juta manakala bilangan pengeluaran pembiayaan pula adalah melebihi RM346 juta berbanding rekod sebelumnya pada 2023,” kata beliau.
 

Pada majlis tersebut, Koop Sahabat turut melancarkan kempen Cabutan WOW! Sahabat Ar-Rahnu 2025 yang sudah bermula pada 1 Januari sehingga 31 Disember 2025 dan menawarkan pelbagai hadiah berjumlah RM50,000 dengan hadiah utama berupa motosikal.
 

"Kami turut menyediakan banyak hadiah menarik berbentuk barangan elektrik dan simpanan akaun emas secara digital dengan cabutan pemenang akan dilakukan pada setiap suku tahun berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” tambah beliau.
 

Koop Sahabat ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 dan ketika ini sudah memiliki sejumlah lebih 450,000 anggota yang terdiri daripada usahawan wanita tempatan dalam kalangan berpendapatan rendah atau B40 di seluruh negara yang menyertai skim AIM.
 

Ia diiktiraf sebagai koperasi kedua terbaik di Malaysia pada 2024 serta berada dalam senarai 10 terbaik di negara ini sepanjang enam tahun berturut-turut oleh SKM kerana aktif meningkatkan taraf sosioekonomi puluhan ribu Sahabat AIM di Malaysia.

 

Selain itu kata Mohd Najib, Koop Sahabat juga merancang bagi menjalinkan kolaborasi sinergi bersama-sama syarikat Global Elit Sdn Bhd untuk pelaksanaan projek e-Commerce Hub pertama di Malaysia yang akan dikenali sebagai Sahabat Elite Star.
 

“Program khas ini dirangka bagi memberikan nilai tambah kepada anggota kami menerusi pendedahan dan latihan yang berkait penjenamaan produk serta pemasaran atas talian melalui platform sosial popular Tik Tok,” jelas beliau. - DagangNews.com