Kontraktor utama LRT3 berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan berterusan - Loke | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontraktor utama LRT3 berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan berterusan - Loke

KUALA LUMPUR 28 April - Kontraktor utama projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) berdepan denda melebihi RM800 juta susulan kelewatan berterusan pada peringkat akhir penyiapan projek, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

 

Beliau berkata jumlah penalti muktamad yang boleh dikuatkuasakan, atau Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD), terhadap Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd hanya akan ditentukan selepas projek siap sepenuhnya, sebelum melalui proses penyelesaian pertikaian standard.

 

Dalam kenyataan kepada Business Times, beliau berkata mekanisme LAD diwujudkan atas niat baik, memastikan tanggungjawab dilaksanakan di sepanjang rantaian pelaksanaan projek.

 

 

 

 

 

 

 

Katanya, kementerian menjangkakan Prasarana Malaysia Bhd akan mentadbir kontrak dengan tegas dan selaras dengan terma yang ditetapkan.

 

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tujuan saya mendedahkan jumlah LAD di Parlimen adalah untuk memastikan akauntabiliti kepada Parlimen, selain memberi isyarat bahawa terdapat implikasi sebenar terhadap kelewatan seperti ini dan akauntabiliti merangkumi keseluruhan rantaian pelaksanaan, daripada kontraktor utama hingga ke subkontraktor,” katanya.

 

Projek LRT3, pembangunan rel ringan terbesar di Malaysia setakat ini, meliputi jajaran sepanjang 37.8 kilometer dari Bandar Utama ke Johan Setia, dengan hab pertukaran utama di Bandar Utama (Laluan MRT Kajang) dan Glenmarie (Laluan LRT Kelana Jaya).

 

Setia Utama tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen ketika laporan ini diterbitkan.

 

Syarikat itu sebelum ini dianugerahkan kontrak bernilai RM2.47 bilion oleh Prasarana pada Mac 2025 bagi kerja-kerja pemulihan laluan LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia.

 

Skop kerja merangkumi lima stesen, dua depot bas elektrik serta pembekalan tren, menjadikannya pakej penting dalam keseluruhan sistem penyampaian projek.

 

Namun, perhatian kini tertumpu kepada kos berkaitan kelewatan.

 

Loke sebelum ini memaklumkan Dewan Rakyat jumlah LAD telah mencecah RM474.8 juta setakat 31 Disember 2025 susulan kelewatan melepasi tarikh lanjutan masa pada 10 Julai 2025.

 

Penalti dikenakan pada kadar RM2.73 juta sehari, atau 0.024% daripada nilai kontrak, dengan kelewatan awal sebanyak 174 hari direkodkan sehingga akhir 2025.

 

Sehingga 27 April tahun ini, tambahan 117 hari kelewatan direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kelewatan sebanyak 291 hari. Ini menunjukkan tambahan LAD sebanyak RM315.9 juta bagi 2026, sekali gus menjadikan jumlah penalti terkumpul sekitar RM790.7 juta.

 

Projek ini pada asalnya disasarkan untuk mula beroperasi pada 30 September 2025 selepas mencapai kemajuan 98.63%, namun berdepan kelewatan lanjut akibat cabaran dalam integrasi sistem dan pentauliahan peringkat akhir.

 

Pada Februari lalu, Loke berkata laluan LRT3 yang tertangguh dijangka mula beroperasi menjelang Jun tahun ini.

 

Mengulas sama ada kerajaan akan menguatkuasakan jumlah penuh LAD atau mempertimbangkan pengecualian atau rundingan semula, beliau berkata keputusan tersebut terletak di bawah tanggungjawab Prasarana sebagai pemilik projek, bukan kementerian.

 

Beliau berkata Prasarana sebagai pemilik projek bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan penguatkuasaan kontrak, manakala peranan kementerian terhad kepada pengawasan dan hala tuju dasar.

 

Mengenai punca kelewatan terkini, Loke berkata maklumat daripada Prasarana menunjukkan ia berpunca daripada cabaran integrasi sistem akibat dua faktor utama.

 

“Pertama, kelewatan dalam kesiapsiagaan sistem isyarat bagi fasa ujian dan pentauliahan. Kedua, timbulnya kerosakan semasa fasa ‘fault-free run’. Kira-kira dua pertiga daripada kerosakan berkaitan sistem isyarat, manakala selebihnya melibatkan tren,” katanya.

 

Beliau menjelaskan kerja pembinaan fizikal sebahagian besarnya telah siap, dengan stesen disiapkan tahun lalu, tren telah dihantar lebih awal dan infrastruktur teras telah tersedia.

 

Cabaran yang tinggal adalah memastikan semua sistem berfungsi secara lancar sebagai satu rangkaian bersepadu.

 

“Ujian ‘fault-free run’ yang pada asalnya dirancang selama dua bulan telah dilanjutkan kepada enam bulan. Tempoh respons dalam menangani isu juga tidak secepat yang dijangkakan, sekali gus menyumbang kepada lanjutan tempoh projek.

 

“Ini bukan cabaran luar biasa dalam projek integrasi rel kompleks di peringkat global, namun ia menekankan keperluan pengurusan kontrak yang lebih rapi, yang kini sedang diperkukuh oleh Prasarana,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Bagi mengurangkan kelewatan selanjutnya, beliau berkata Prasarana telah mempertingkat pemantauan terhadap baki fasa ujian dan pentauliahan, termasuk dari segi kos dan jadual pelaksanaan.

 

“Mekanisme LAD diwujudkan untuk melindungi kepentingan awam dalam situasi seperti ini, di mana beban kewangan akibat kelewatan ditanggung oleh kontraktor, bukan kerajaan atau rakyat,” katanya. - DagangNews.com