Kontrak terkumpul Solarvest cecah RM1.6 bilion, diyakini kuasai 30% pasaran solar - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak terkumpul Solarvest cecah RM1.6 bilion, diyakini kuasai 30% pasaran solar - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 JanSolarvest Holdings Berhad diyakini mengekalkan penguasaan 30% pasaran program solar berskala besar (LSS), selepas mencatat kontrak terkumpul RM1.6 bilion setakat tahun ini.


Menurut Phillip Capital, jumlah tersebut turut melebihi jangkaan awal firma penyelidikan berkenaan sendiri dengan buku tempahan yang sedia ada syarikat itu pada ketika ini sudah berjumlah RM1.7 bilion.


Ia bersamaan 3.2 kali hasil dicatatkan pada FY25, memberikan pandangan pendapatan yang cukup kukuh, selain kumpulan tersebut menyasarkan untuk menambah buku pesanan baharu dari FY26 sehingga FY28.


"Ini termasuk peluang Solarvest daripada projek LSS6, Sarawak LSS, MyBeST, serta projek strategik bersama Brookfield CRESS (1.5GW) dan projek 470MWc di Perak bersama Malakoff," kata firma tersebut.


Tambah Phillip Capital, walaupun pengiktirafan pendapatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tertunda sedikit, ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham syarikat ini. 


Firma tersebut juga menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM3.80 berbanding sebelum ini hanya RM3.40, berasaskan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 32 kali bagi segmen EPCC.


Penilaian premium itu disokong rekod pelaksanaan projek yang kukuh dan pandangan pendapatan lebih jelas, selaras dengan aspirasi Malaysia mencapai 70% tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2050.


"Solarvest juga sedang menawarkan 9.2GWp projek solar masing-masing 8.1GWp di Malaysia dan 1.1GWp di luar negara, serta 909MWh sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS)," kata Phillip Capital.


Kontrak di Sarawak termasuk perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 30 tahun bersama syarikat elektrik SESCO untuk fasiliti solar 100MW di Mukah, menambah pertumbuhan secara jangka panjang.


Katanya pada masa yang sama, kumpulan kejuruteraan rumusan RE itu turut memperhebatkan peluang dengan menyertai pelbagai kerja EPCC di luar negara antaranya Vietnam, Taiwan dan Singapura. 


Bagaimanapun, Phillip Capital mengingatkan risiko utama termasuk perubahan dasar kerajaan, kelewatan pelaksanaan projek, persaingan sengit dan turun naik harga modul solar. - DagangNews.com