Kontrak terkini diperoleh Southern Score di Melaka mampu jana untung RM1.8 juta – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak terkini diperoleh Southern Score di Melaka mampu jana untung RM1.8 juta – TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Dis – Southern Score Builders Berhad menerusi anak syarikatnya, Southern Score Builder Sdn Bhd (SSBB) berjaya meraih kontrak struktur kecil yang bernilai RM15.2 juta minggu lalu.


Menurut TA Securities, tender baharu berkenaan diperoleh dari Radium Hospital Ayer Keroh Sdn Bhd di Melaka, yang dijangka menyumbang kira-kira RM1.8 juta kepada keuntungan sepanjang tempoh projek.


Kontrak itu kata firma tersebut, melibatkan pembangunan hospital swasta tujuh tingkat dengan 142 katil, termasuk fasiliti pengurusan sisa, utiliti dan bangunan tempat letak kereta tiga tingkat.


"Projek ini dijadual bermula 15 Disember 2025 dan siap pada 14 September 2026, ia merupakan kontrak ketiga SSB8 dalam FY26, menjadikan jumlah kontrak terkini RM137.2 juta," katanya dalam satu nota.


Dengan jumlah pesanan belum dibayar dianggarkan meningkat kepada RM1.47 bilion, bersamaan 6.7 kali ganda pendapatan FY25, kontrak itu sekali gus menyokong ketelusan hasil jangka pendek kumpulan.


TA Securities menekankan yang kontrak ini boleh membuka laluan kepada SSB8 untuk memenangi peranan kontraktor utama serta kontrak mekanikal dan kejuruteraan (M&E) bagi projek hospital berkenaan.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, ia berpotensi memberikan nilai keseluruhan kontrak sekitar RM196 juta hingga RM210 juta berdasarkan anggaran kos pembangunan RM1.5 juta setiap katil.


"Ia turut disokong oleh pelancaran projek hartanah dalaman bersama Platinum Victory dan Radium dengan sasaran nilai pembangunan kasar (GDV) tahunan sekurang-kurangnya RM1 bilion," katanya.


Selain itu jelas TA Securities, kumpulan berkenaan berkeupayaan memperoleh sejumlah tender M&E yang bernilai kira-kira RM384 juta di bawah SJEE Engineering dan meningkatkan pendapatan kumpulan.


Selain itu, firma tersebut turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas Southern Score dengan harga sasaran 80 sen, berdasarkan pendapatan sesaham (PE) yang diunjur 16 kali pada tahun depan.


Pada masa sama, ia menekankan ketelusan hasil kukuh, pendedahan strategik kepada ruang pusat data yang berkembang pesat, serta margin bersih dua digit yang stabil. - DagangNews.com