KUALA LUMPUR 16 Dis – Kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar terkini diperoleh Binastra Corporation Berhad dijangka menyumbang keuntungan bersih kira-kira RM4.4 juta.
Menurut TA Securities, unjuran jumlah berkenaan mampu dicatatkan sepanjang tempoh pembinaan itu yang sudah bermula pada 15 Disember 2025 dan disasarkan dapat siap sepenuhnya menjelang 26 Jun 2027.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kontrak terbaharu yang bernilai RM171.7 juta itu diperoleh baru-baru ini menerusi Binastra Atlantic Sdn Bhd, di bawah program Solar Berskala Besar (LSS) fasa kelima.
"Ia diterima oleh konsortium berkenaan yang melibatkan Binastra Green Energy Sdn Bhd (51%) dan Atlantic Blue Sdn Bhd (49%), iaitu anak syarikat Solarvest Holdings Berhad," kata firma itu dalam notanya.
Jelasnya, nilai efektif kontrak dianggarkan RM87.6 juta, membabitkan pembangunan kapasiti solar fotovoltaik yang berjumlah 56.5MWac di tiga lokasi iaitu Kuala Langat, Selangor dan Sungai Lalang, Kedah.
Di bawah kerjasama tersebut kata TA Securities, Binastra akan bertanggungjawab terhadap pembiayaan projek serta pengawasan strategik, manakala Solarvest pula mengetuai usaha pelaksanaan teknikal.
Kemenangan kontrak itu jelasnya, meningkatkan perolehan kerja baharu Binastra bagi FY26 setakat ini kepada RM2.1 bilion, sekali gus melonjakkan buku tempahan terkumpulnya kepada RM5.2 bilion.
"Jumlah ini bersamaan 3.3 kali unjuran hasil FY26, dan walaupun pengisian semula buku tempahan sekitar 53% daripada sasaran RM4.0 bilion bagi FY26, kami masih lagi berpandangan positif," katanya.
Baki sasaran jelasnya, berpotensi dicapai dalam tempoh terdekat, disokong banyak projek yang kukuh termasuk kontrak berulang Exsim dan Maxim di Johor serta tender luar bernilai sekitar RM500 juta.
TA Securities turut menegaskan kontrak EPCC solar kedua Binastra dalam FY26 itu mencerminkan usaha berterusan kumpulan untuk mempelbagaikan aliran pendapatan ke dalam segmen tenaga hijau.
Kerjasama sulung dengan Solarvest juga jelas firma tersebut, dilihat sebagai pemangkin kepada peluang bidaan projek solar berskala besar pada masa hadapan, termasuk di bawah program LSS6.
Sehubungan itu, ia masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas Binastra dengan harga sasaran RM2.85 sesaham, berdasarkan unjuran 17 kali pendapatan sesaham pada 2026. - DagangNews.com








