Tentera Darat bercadang membuka semula tender helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk bagi kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Perkara tersebut ditegaskan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan semasa Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-92 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Sabtu.
Menurut Muhammad Hafizuddeain, beberapa syarikat telah pun mengemukakan kertas cadangan bagi menawarkan diri untuk membekalkan pesawat berkenaan.
Kontrak sewaan 4 buah helikopter ini masih pada paras kos RM200 juta selama 5 tahun.


Helikopter Black Hawk terkenal dengan kepelbagaian fungsi dalam kedua-dua misi pertempuran dan sokongan, dilihat sebagai aset utama untuk TD.
November lalu, Kementerian Pertahanan (Mindef) membatalkan kontrak sewaan 4 helikopter Black Hawk kepada syarikat diberikan kontrak setelah lewat menghantar pesawat tersebut.
Helikopter yang sepatutnya diterima secara berperingkat-peringkat pada November 2023 dilanjutkan beberapa kali hingga akhir Oktober lalu.
Mindef pada Mei 2023 menandatangani kontrak sewaan berkenaan dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.
Susulan kontrak ini, ATM telah melakukan persediaan termasuk menghantar juruterbang menjalani latihan simulator helikopter Sikorsky UH-60A Blackhawk di Havelsan Simulator Training Centre, Turkiye.


Ia bagi memahirkan juruterbang Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD bagi persiapan penerimaan pesawat termasuk latihan kepada kru.
Justeru, cadangan Panglima Tentera Darat untuk hasrat mendapatkan helikopter Black Hawk adalah logik berdasarkan persediaan yang telah dibuat.
Perkembangan terbaharu mengenai cadangan perolehan Black Hawk PUTD ini menunjukkan kaedah sewaan sekali lagi menjadi pilihan Mindef.
Bermakna, syarikat-syarikat yang berminat untuk membida kontrak juga melihat model perniagaan secara sewaan sebagai alternatif yang baik.
Melalui kaedah sewaan, kerajaan tidak perlu menyediakan peruntukan besar untuk mendapatkan helikopter kerana kos dikeluarkan oleh syarikat yang memberi sewa.


Sebaliknya, kerajaan hanya mula membayar kos sewaan yang meliputi selenggaraan dan latihan ini secara berperingkat-peringkat selepas helikopter diterima.
Memandangkan Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (Westar Aviation) telah memenangi kontrak membekalkan 28 buah helikopter secara sewaan kepada kerajaan, maka syarikat ini dijangka tidak menjadi pesaing dalam tender Black Hawk.
Fokus utama syarikat itu kini adalah menyelesaikan segala keperluan berkaitan.
Westar Aviation juga lebih cenderung mengoperasikan pesawat Eropah khususnya buatan Leonardo dan Airbus kerana Black Hawk adalah pesawat buatan Amerika Syarikat (AS).
Walaupun syarikat yang berminat menawarkan kontrak sewaan Black Hawk PUTD tidak disebut, tetapi berkemungkinan melibatkan syarikat yang mempunyai keupayaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Sebagai contoh AIROD Sdn. Bhd. (AIROD) yang sebelum ini bertanggungjawab dalam penyelenggaraan helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri TUDM.
AIROD yang telah diswastakan pada 1985 sebagai sebuah syarikat usahasama antara National Aerospace & Defence Industries Bhd. (NADI) dari Malaysia dan Lockheed Aircraft Systems International (LASI) dari AS merupakan pendahulu dalam bidang MRO.
Dengan pengalaman mengendalikan pesawat buatan AS, kelebihan ada pada AIROD jika mendapatkan tender sewaan helikopter Black Hawk PUTD.
Syarikat lain seperti Boustead Heavy Industries Corporation Berhad melalui anak syarikatnya, BHIC AeroServices Sdn. Bhd. (BHIC).
BHIC bertanggungjawab untuk penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti bagi helikopter Eurocopter EC725 TUDM.

Begitu juga Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Gading Berhad yang terlibat dalam sektor aeroangkasa.
Syarikat ini turut menyediakan perkhidmatan MRO, sewaan, latihan kepada juruterbang dan juruteknik serta latihan berasaskan simulasi.
Tahun lalu Galaxy Aerospace telah dianugerahkan kontrak untuk membekalkan helikopter AW189 kepada Maritim Malaysia (APMM).
Bagaimana pun, ada banyak syarikat tempatan yang berpotensi untuk mendapatkan kontrak sewaan Black Hawk PUTD ini khususnya yang telah mempunyai pengalaman serta tahu selok-belok berniaga dengan Mindef.



Walaupun tidak mempunyai kemudahan MRO, ia boleh diwujudkan menerusi kerjasama dengan rakan industri luar negara yang mempunyai kemahiran tersebut.
Kos untuk menyediakan kemudahan berkenaan di sini juga tidak besar kerana rakan industri dari luar negara mempunyai keupayaan.
Bagi rakan industri luar negara itu pula, peluang dapat bertapak di Malaysia memberi mereka kelebihan untuk meneroka lain-lain potensi perniagaan pada masa hadapan.
Sekiranya kontrak sewaan helikopter Black Hawk PUTD kali kedua ini menjadi kenyataan, ia dilihat terus merancakkan lagi ekonomi dalam industri pertahanan tempatan. - DagangNews.com







