Kontrak pusat data rangsang pendapatan Sunway Construction sehingga FY27, menurut penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak pusat data rangsang pendapatan Sunway Construction sehingga FY27, menurut penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Dis — Dua firma penyelidikan memberikan pandangan yang berbeza terhadap Sunway Construction Group Berhad susulan kemenangan projek terbaharu dengan nilai mencecah RM386 juta.


Bagaimanapun mereka bersetuju, kejayaan memenangi tender tersebut mengukuhkan lagi buku tempahan kumpulan pembinaan berkenaan kepada RM6.4 bilion dengan keterlihatan pendapatan sehingga FY27.


MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.53, disokong asas kewangan kukuh, kunci kira-kira berdaya tahan serta prospek pertumbuhan sektor pembinaan memberangsangkan.


"Kami menekankan kekuatan Sunway Construction dalam segmen pembinaan pusat data (DC), yang kini merangkumi 46.3% daripada keseluruhan buku tempahan," kata firma tersebut dalam notanya hari ini.


Menurutnya, kemenangan projek infrastruktur tapak daripada sebuah syarikat teknologi multinasional Amerika Syarikat (AS) itu dicapai hanya dua hari selepas memperoleh kontrak RM570 juta di Johor.


Selain segmen DC, MBSB Research melihat kumpulan itu berada pada landasan tepat mempelbagaikan perniagaan ke dalam projek infrastruktur berskala besar dan tenaga boleh diperbaharui (RE).


Inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dinilai terus menyokong projek dalaman, dan mengekalkan unjuran pendapatan selain menilai sahamnya pada 27 kali nisbah harga FY26, selari dengan purata dua tahun.


Sementara itu, Maybank Investment Bank mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan mengekalkan saranan 'pegang' dan TP RM5.63, walaupun kemenangan projek ini merupakan perkembangan positif.


"Selepas tempoh hampir tujuh bulan tanpa projek besar, kami mahu melihat aliran kemenangan kontrak yang konsisten sebelum menyemak semula penarafan atau TP saham Sunway Construction," tambahnya.


Setakat ini jelasnya, kumpulan itu memperoleh kemenangan projek tahun-ke-tarikh (YTD) sebanyak RM4.9 bilion, bersamaan 98% daripada anggaran setahun penuh firma penyelidikan itu sendiri.


Maybank IB berkata, dengan buku tempahan kekal RM6.4 bilion, Sunway Construction turut menyasarkan sekurang-kurangnya satu lagi projek DC dan satu projek dalaman sebelum akhir tahun kewangan FY25.


"Dari sudut pendapatan, kami menganggarkan projek RM386 juta itu akan menyumbang RM23.2 juta kepada keuntungan bersih teras atau sekitar 2 sen sesaham sepanjang tempoh projek," katanya.


Unjuran tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, berdasarkan margin pracukai 8%, namun ia masih mengekalkan anggaran pendapatan sedia ada sementara menunggu perkembangan kontrak baharu.


Secara keseluruhan, dua firma itu bersetuju projek DC kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama, namun berbeza dari segi tahap keyakinan terhadap momentum kemenangan projek jangka sederhana. - DagangNews.com