Kontrak pertama Solarvest bernilai RM89.5 juta dijangka mampu capai sasaran buku tempahan RM2 bilion - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak pertama Solarvest bernilai RM89.5 juta dijangka mampu capai sasaran buku tempahan RM2 bilion - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac – Kontrak pertama yang dimenangi Solarvest Holdings Berhad pada tahun 2026 adalah satu langkah penting syarikat dalam mencapai sasaran buku tempahan sebanyak RM2 bilion,” kata RHB Research.

 

Kontrak itu melibatkan projek pembinaan loji solar fotovoltaik berkapasiti 36MWac di Padang Siding, Perlis, bernilai RM89.5 juta melalui anak syarikat milik penuh Solarvest, Atlantic Blue, dengan tarikh operasi komersial dijangka pada 26 Februari 2028.

 

RHB Research mengekalkan saranan beli untuk saham Solarvest dengan harga sasaran RM3.49, menawarkan potensi kenaikan 48 peratus daripada harga semasa RM2.36. 

 

“Saham syarikat kini diniagakan pada nisbah P/E 23.8 kali, hampir sejajar dengan purata tiga tahun lepas, menjadikannya peluang menarik untuk pelabur masuk semula.

 

“Kejayaan mendapatkan kontrak pertama itu membuktikan kemajuan Solarvest dalam membina buku tempahan yang kukuh, dengan sasaran mencapai RM2 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2026,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Selain itu, firma tersebut menjangkakan harga panel solar akan menurun selepas April, sementara pembekal utama dari China dijangka menepati kontrak, memastikan asas fundamental syarikat kekal kukuh.

 

Sehingga suku ketiga FY26, Solarvest mencatatkan buku tempahan berjumlah RM1.5 bilion, dengan 68 peratus terdiri daripada projek berskala besar (LSS), 19 peratus daripada Program Korporat Tenaga Hijau (CGPP) dan 13 peratus daripada projek komersial, industri dan kediaman.

 

RHB Research berkata penghapusan rebat cukai nilai tambah (VAT) 9 peratus dijangka memberi kesan minima kepada pesanan di bawah RM400 juta. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Solarvest peroleh kontrak EPCC RM89.5 juta untuk projek LSS5+ 36MW di Perlis

 

Faktor mitigasi termasuk harga panel yang lebih rendah melalui pesanan 2GW, pengukuhan kadar tukaran RM/USD, serta harga inverter dan kabel yang menguntungkan.

 

RHB Research turut menjangkakan kos bahan untuk membuat panel solar akan turun dengan harga perak,  kini menurun kepada AS$79.20 per auns manakala harga polisilikon dari China iaitu bahan utama sel solar, juga jatuh lebih 13 peratus sejak awal tahun. 

 

“Penurunan harga ini dijangka membantu Solarvest mengurangkan kos projek,” katanya.

 

Prestasi kewangan Solarvest juga dijangka kekal kukuh dengan pendapatan dijangka meningkat daripada RM968 juta pada FY26 kepada RM1.37 bilion pada FY27, manakala keuntungan bersih berulang dijangka mencecah RM97 juta pada FY27, meningkat daripada RM78 juta pada FY26.

 

Syarikat dinilai menggunakan gabungan pendekatan P/E 30 kali bagi FY27 dan kaedah DCF untuk aset solar, termasuk premium ESG 8 peratus, menghasilkan harga sasaran RM3.49 sesaham.

 

RHB Research menekankan beberapa risiko yang perlu diperhatikan pelabur, antaranya kemenangan kontrak yang lebih rendah daripada jangkaan, peningkatan kos projek secara tidak dijangka, persaingan sengit, serta bergantung kepada dasar kerajaan berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

 

Dari segi ESG, Solarvest memperoleh skor keseluruhan 3.4 daripada 4. Komponen alam sekitar (E) mencatatkan 3.7, sosial (S) 3.3, dan tadbir urus (G) 3.0. 

 

Syarikat turut melaksanakan strategi pengurusan sisa yang baik, dasar keselamatan pekerjaan, dan program tanggungjawab sosial korporat.

 

Sebagai penyedia perkhidmatan turnkey EPCC solar, Solarvest menawarkan perkhidmatan menyeluruh daripada pembinaan sistem solar fotovoltaik sehingga strategi dekarbonisasi untuk pelanggan, sejajar dengan permintaan global terhadap tenaga bersih dan boleh diperbaharui. - DagangNews.com