Kontrak pembinaan baharu Kerjaya Prospek di Elmina jana buku tempahan FY25 kepada RM3.6 bilion – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak pembinaan baharu Kerjaya Prospek di Elmina jana buku tempahan FY25 kepada RM3.6 bilion – PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 NovKerjaya Prospek Group Berhad dijangka meraih lonjakan buku tempahan kepada RM3.6 bilion selepas memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM87.7 juta di Elmina, Shah Alam.


Menurut Public Investment Bank, tender terbaharu itu dianggarkan menyumbang sekitar 4.4% lagi kepada sasaran penambahan buku tempahan untuk tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak RM2.0 bilion.


Kata firma itu, kontrak berkenaan dianugerahkan anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Berhad (E&O), E&O Express Sdn Bhd, bagi membina 133 unit lot kedai komersial di kawasan tersebut.


"Tender ini meningkatkan buku tempahan belum siap sebanyak 2.5%, namun tiada perubahan unjuran hasil semasa memandangkan projek itu dimasukkan untuk FY25," jelas firma berkenaan dalam notanya.


Bagaimanapun kata PublicInvest, susulan kenaikan harga saham Kerjaya Prospek baru-baru ini dan ruang peningkatan yang disifatkan sebagai terhad, ia mengekalkan harga sasaran RM2.85 sesaham.

 

Artikel berkaitan: Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM87.66 juta daripada E&O Express bina lot kedai di Shah Alam

 

Firma penyelidikan tersebut namun menurunkan saranannya kepada 'neutral', sambil menegaskan yang sentimen positif jangka pendek kumpulan berkenaan sudah pun terzahir dalam harga saham semasa.


Projek di Elmina itu dijadualkan bermula 17 November 2025 dan siap dalam tempoh 30 bulan, dengan anggaran margin keuntungan sederhana menjana keuntungan sekitar RM8 juta sepanjang pelaksanaannya.


"Dengan tender ini, jumlah kontrak tahun-ke-tarikh (YTD) naik kepada RM958 juta, 47.9% daripada sasaran FY25, memberikan ketampakan pendapatan kukuh dua hingga tiga tahun," kata PublicInvest.


Firma itu turut menilai Kerjaya Prospek akan terus menumpu projek dengan margin lebih tinggi, dan menyesuaikan strategi operasi bagi mengatasi cabaran ekonomi serta persaingan sektor pembinaan.


Secara keseluruhan, walaupun potensi jangka sederhana kekal positif dengan sokongan buku tempahan kukuh, ruang peningkatan harga saham kumpulan itu kini terhad. - DagangNews.com