Kontrak meriam SPH Tentera Darat bernilai RM900 juta dijangka dimeterai pada pameran DSA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak meriam SPH Tentera Darat bernilai RM900 juta dijangka dimeterai pada pameran DSA

Sistem CAESAR antara yang bersaing bagi mendapatkan kontrak meriam SPH TDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 10 April – Salah satu kontrak utama dijangka dimeterai pada pameran pertahanan Defence Services Asia (DSA) akan datang ialah pembelian sistem meriam mudah alih (SPH) untuk Tentera Darat Malaysia (TDM).

 

Kementerian Pertahanan (MINDEF) difahamkan telah memuktamadkan pemilihan jenis meriam yang diperlukan selaras dengan keperluan operasi TDM.

 

Bagaimana pun, pengumuman rasmi masih belum dibuat setakat ini.

 

 

 

 

 

 

Perkara tersebut turut dibayangkan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, yang memaklumkan bahawa proses perolehan sistem SPH kini berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

 

Meriam
SPH EVA.

 

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi di sini minggu lalu.

 

Menurut beliau, sistem persenjataan berteknologi tinggi itu dijangka mula memperkukuh unit artileri TDM selewat-lewatnya pada tahun hadapan, sekali gus meningkatkan keupayaan tempur dan mobiliti.

 

Kontrak SPH dijangka dalam julat nilai RM900 juta ini melibatkan pembelian sekurang-kurangnya 16 hingga 18 unit meriam, kelengkapan sokongan latihan, peluru dan prasarana.

 

Jumlah tersebut adalah ideal bagi kekuatan sebuah rejimen artileri mengikut doktrin TDM.

 

Meriam

 

Kali terakhir TDM membeli meriam moden  pada tahun 2000 apabila memilih sistem artileri G5 MKIII 155mm buatan Afrika Selatan.

 

Sepanjang tempoh itu G5 MKIII menjadi satu-satunya meriam tembakan jarak jauh yang dimiliki TDM, manakala jumlahnya terhad bagi operasi di Semenanjung.

 

Pada November tahun lalu, kerajaan telah meluluskan rancangan pembelian meriam SPH sebagai sebahagian usaha memperkukuh keupayaan artileri negara. 

 

Pengumuman ini sekali gus menamatkan penantian lebih dua dekad oleh Rejimen Artileri Diraja untuk memiliki sistem artileri SPH.

 

Difahamkan, sebanyak 6 model SPH telah melalui proses penilaian dan ujian bagi memastikan pemilihan sistem yang paling sesuai dengan keperluan operasi TDM.

 

Meriam

 

Meriam

 

Antara calon yang disebut-sebut termasuk CAESAR dari Perancis, EVA dari Slovakia dan Yavuz dari Turkiye.

 

Dalam kalangan pilihan tersebut, sistem CAESAR dilihat sebagai antara yang paling berjaya di peringkat global apabila digunakan secara meluas oleh pelbagai negara. 

 

Malah, sistem itu turut terbukti dalam operasi sebenar apabila digunakan oleh tentera Ukraine dalam konflik Perang Rusia-Ukraine.

 

Beberapa pihak pula mengatakan bahawa TDM sebelum ini lebih berminat untuk mendapatkan sistem CAESAR berdasarkan mobiliti, saiz dan kelasakan kenderaan pembawa meriam dengan muka bumi tempatan.

 

Meriam

 

Meriam

 

Perolehan SPH ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memodenkan keupayaan tempur TDM, khususnya dalam aspek mobiliti, ketepatan tembakan dan keupayaan tindak balas pantas di medan operasi moden.

 

 

 

 

 

 

Pembelian ini juga dijangka turut melibatkan kerjasama dengan syarikat pertahanan tempatan melibatkan pemindahan teknologi yang bersesuaian selain aspek selenggaraan. - DagangNews.com