Kontrak lebih rendah punca untung bersih Dayang Enterprise susut 36.4% kepada RM231.7 juta bagi FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak lebih rendah punca untung bersih Dayang Enterprise susut 36.4% kepada RM231.7 juta bagi FY25

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 AprilDayang Enterprise Holdings Berhad mencatatkan penyusutan keuntungan bersih kira-kira 36.45% kepada sebanyak RM231.7 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025.


Angka tersebut menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, adalah lebih rendah berbanding sejumlah RM364.6 juta yang pernah dicatatkannya pada tahun kewangan sebelum itu. 


Penyusutan prestasi ini disebabkan oleh jumlah kontrak lebih rendah, kadar penggunaan kapal yang merosot kepada hanya 56% berbanding 65% pada 2024, serta kadar sewa harian (DCR) semakin berkurangan.


"Sepanjang tempoh dalam tinjauan, Dayang merekodkan perolehan sebanyak RM938.1 juta, susut kira-kira 36.1% berbanding RM1.47 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2024," jelas kumpulan itu.


Dari segi prestasi segmen, penyelenggaraan 'topside' menyumbang RM504.5 juta atau 53.78% daripada keseluruhan hasil, manakala bahagian marin pula menjana RM433.6 juta atau 46.22% daripada hasil.


Syarikat tersebut turut berjaya memperkukuh kunci kira-kira dengan melunaskan sepenuhnya semua pinjaman bank, menjadikan kumpulan kini bebas daripada hutang setakat akhir tahun kewangan 2025.

 

Dayang_DagangNews


Selain itu, Dayang juga memiliki baki tunai dan bank berjumlah RM756.2 juta, dengan berdasarkan prestasi semasa, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7 sen sesaham.


"Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen sepanjang FY25 adalah sebanyak 14 sen sesaham, melibatkan jumlah agihan mencecah kira-kira RM162.1 juta," kata kumpulan berkenaan.


Menyentuh mengenai prospek masa depan, kumpulan itu kekal optimis dengan nilai buku tempahan yang melebihi RM4 bilion, serta menjangkakan aktiviti huluan minyak dan gas (O&G) lebih mampan.


Perkembangan positif berkenaan ujar Dayang, akan terus memacu permintaan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan 'topside' dan kapal sokongan luar pesisir syarikat bagi tahun kewangan 2026.


Sementara itu, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Hasmi Hasnan berkata, walaupun menghadapi cabaran kitaran pasaran pada FY25, disiplin operasi dan pengurusan kewangan kumpulan masih dapat berdisiplin.


"Keadaan berhemat ini sekali gus telah membolehkan syarikat kekal berdaya saing dan terus memberi nilai kepada pemegang saham," kata beliau dalam kenyataan tersebut. - DagangNews.com