KUALA LUMPUR 15 Dis – AWC Berhad baru-baru ini meraih kontrak yang kelapan bagi tahun kewangan 2026 dan dijangka menyumbang RM4.2 juta kepada pendapatan kumpulan, menurut Malacca Securities.
Ia susulan penerimaan surat penganugerahan (LOA) tender bernilai RM42.3 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan sebuah pusat data berskala besar di Eco Business Park V, Puncak Alam, Selangor.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak diperoleh melalui anak syarikat milik penuh AWC, Qudotech Sdn Bhd, daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd, termasuk melibatkan sistem penuaian air hujan.
"Projek tersebut sudah bermula pada 8 Disember 2025 dengan sasaran siap pada 28 Februari 2027 bagi Fasiliti 1 dan 1 September 2027 bagi Fasiliti 2," kata Malacca Securities dalam notanya hari ini.
Ia juga merupakan kontrak pusat data kedua yang diterima AWC daripada pelanggan sama, sekali gus meningkatkan jumlah kemenangan kontrak kumulatif kumpulan kepada sekitar RM424 juta bagi FY26.
Artikel berkaitan: AWC menang tender subkontrak pusat data bernilai RM42.3 juta di Puncak Alam daripada Gamuda
Kemenangan berkenaan kata firma itu, mengukuhkan lagi Divisyen Kejuruteraan AWC serta meningkatkan pendedahan kumpulan kepada segmen pusat data berskala besar yang berkembang pesat di Malaysia.
Jelas Malacca Securities, tempahan berulang daripada Gamuda mencerminkan keupayaan pelaksanaan dan rekod prestasi AWC dalam melaksanakan kerja mekanikal serta elektrik (M&E) yang amat kompleks.
"Tempoh kontrak meliputi FY26 hingga FY28 dijangka memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik kepada kumpulan, dengan anggaran margin keuntungan bersih konservatif sekitar 10%," katanya.
Bersandarkan unjuran berkenaan, firma penyelidikan itu menganggarkan kontrak terbaharu ini mampu menyumbang sekitar RM4.2 juta kepada pendapatan AWC sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja.
Dari sudut penilaian, Malacca Securities mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada kerana kontrak itu adalah selari jangkaan, dan turut mengekalkan saranan ‘beli' dengan harga sasaran 66 sen.
Penilaian tersebut berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 10 kali terhadap perolehan sesaham (EPS) dicairkan sepenuhnya pertengahan FY27 sebanyak 6.58 sen. - DagangNews.com








