Kontrak kabel dasar laut TNB buka laluan MN Holdings tembusi projek grid ASEAN - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak kabel dasar laut TNB buka laluan MN Holdings tembusi projek grid ASEAN - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Dis – Kejayaan MN Holdings Berhad memperoleh kontrak terkini kabel tenaga dasar laut 132kV daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan sahaja mengukuh buku tempahan kumpulan itu.


Malah menurut Maybank Investment Bank, kemenangan tersebut dilihat sebagai pemangkin strategik untuk syarikat berkenaan dapat menembusi banyak projek grid tenaga di peringkat ASEAN selepas ini pula.


Firma penyelidikan itu berkata, penglibatan dalam projek berprofil tinggi ini, melalui kerjasama dengan pengeluar kabel antarabangsa LS Cable & System Ltd (LSC), memberikan banyak nilai tambah.


"Ini termasuk dari segi rekod prestasi dan pendedahan teknikal, sekali gus meningkatkan daya saing MNH bagi projek prasarana tenaga serantau pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.


Maybank IB merujuk makluman MNH, bersama LSC dan Pembinaan Tajri Sdn Bhd (PTSB) melalui konsortium dengan pegangan 10:89:1, menerima surat setuju terima (LOA) TNB pada 22 Disember 2025.


Tender berkenaan bagi kerja-kerja menaik taraf sistem kabel kuasa dasar laut berkapasiti 132kV yang menghubungkan pencawang masuk utama (PMU) Kuala Perlis ke PMU Teluk Apau, Langkawi, Kedah.

 

Artikel berkaitan: MN Holdings, LS Cable peroleh kontrak TNB RM177.36 juta naik taraf kabel dasar laut

 

Projek bernilai RM177.4 juta itu bermula serta-merta dan disasarkan siap menjelang suku kedua 2027 dengan LSC, yang berpangkalan di Korea Selatan, akan menerajui pelaksanaan kerja-kerja berkenaan.


"MNH pula menumpukan kerja pencawang dan sambungan darat, selari dengan kepakaran terasnya, namun kontrak ini akan menyumbang RM17.7 juta kepada buku tempahan kumpulan tersebut," kata Maybank IB.


Situasi ini menjadikan jumlah keseluruhan RM882 juta setakat ini, dengan kemenangan kontrak tahun ke tarikh kini (YTD) mencecah RM72 juta, bersamaan 14% daripada sasaran pengisian semula FY26.


Potensi selanjutnya dijana oleh buku tender yang bernilai RM1 bilion, dengan pendedahan terbesar projek TNB (34%), diikuti pusat data (15%), air dan pembetungan (12%), solar (11%) serta sektor-sektor lain.


Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan MNH kerana kontrak ini sejajar jangkaan sedia ada, serta mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM2.27, berdasarkan penilaian unjuran harga FY26.


"Kami menggemari syarikat ini berikutan kedudukan strategiknya dalam segmen TNB, pusat data dan tenaga solar, selain prospek jangka sederhana disokong aliran kerja berimpak tinggi," jelasnya.


Bagaimanapun firma itu memberi amaran risiko kelewatan projek yang boleh menjejaskan aliran tunai, tekanan kos dan gangguan rantaian bekalan serta persaingan sengit segmen utiliti. - DagangNews.com