KUALA LUMPUR 17 Mac — Tempoh kontrak yang lebih pendek dalam industri kapal sokongan luar pesisir (OSV) dilihat mencerminkan persekitaran pasaran minyak dan gas (O&G) yang masih berhati-hati.
Bagaimanapun menurut penganalisis, situasi itu tidak menghalang Keyfield International Berhad daripada meraih lapan kontrak sewaan baharu yang bernilai keseluruhannya mencecah RM246 juta.
Ia melibatkan tujuh kapal kerja penginapan (AWB) dan satu kapal tunda pengendali sauh (AHTS), masing-masing daripada kontraktor petroleum di Malaysia, Thailand serta rantau Timur Tengah.
Justeru, TA Securities berpandangan, pengumuman kejayaan tender tersebut semalam adalah sejajar dengan jangkaan pasaran, walaupun kadar sewaan harian (DCR) kontrak itu tidak pula didedahkan.
"Berdasarkan anggaran kami, kontrak ini berpotensi menjana sekitar RM100,000 hingga RM120,000 sehari bagi AWB dan RM45,000 sehari bagi AHTS, selaras dengan DCR pada FY25," kata firma itu.
Menurutnya dalam analisis hari ini, tempoh kontrak yang lebih pendek mencerminkan permintaan OSV yang masih sederhana di Malaysia sendiri dan ketidaktentuan berterusan di pasaran Timur Tengah.
Kontrak itu jelas TA Securities, namun masih memberikan keterlihatan penggunaan armada dalam jangka masa terdekat, khususnya tujuh kapal dijadualkan beroperasi pada separuh pertama 2026.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran pendapatan Keyfield kerana kontrak baharu tersebut adalah selari dengan andaian penggunaan armada OSV secara konservatif sekitar 70%.
"Kami turut menaik taraf saranan daripada 'jual' kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.51 sesaham, berdasarkan penilaian sembilan kali gandaan pendapatan sesaham (EPS) FY26," tambahnya.
Artikel berkaitan: Keyfield peroleh 8 kontrak sewa kapal AWB, AHTS berjumlah RM162 juta

Sementara itu, AmInvestment Bank (AmInvest) berpandangan yang kemenangan kontrak tersebut sebagai turut menyokong prospek pemulihan operasi bagi kumpulan berkenaan sepanjang tahun kewangan 2026.
Nilai kontrak kukuh sebanyak RM162 juta bersamaan kira-kira 35% daripada unjuran hasil FY26, manakala nilai maksimum RM246 juta mewakili sebanyak 22% daripada permodalan pasaran syarikat.
Firma itu berkata kemenangan lima kontrak domestik, termasuk dua daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd, mengukuhkan Keyfield berpotensi mendapat manfaat daripada bekalan OSV yang ketat di Malaysia.
“Kapal dalam armada yang sevata purata berusia lebih muda memberi kelebihan kepada syarikat ini untuk memenangi kontrak baharu serta mengurangkan risiko kapal tidak digunakan,” kata AmInvest.
Selepas kemenangan kontrak tersebut, kumpulan itu kini mempunyai enam kapal beroperasi di Timur Tengah, lima kapal di Malaysia, manakala hanya tiga kapal yang masih belum ada sebarang kontrak.
Pengurusan Keyfield tambah firma penyelidikan tersebut, turut memaklumkan bahawa operasi kontrak yang sedia ada di rantau Timur Tengah sebagai tidak terjejas oleh situasi ketegangan semasa.
Oleh itu, AmInvest mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM1.80 sesaham, berdasarkan sembilan kali unjuran hasil FY27, selaras purata lima tahun sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas.
"Penilaian ini menunjukkan potensi kenaikan harga sekitar 29% selain menawarkan dividen 6%, menjadikan saham syarikat masih dianggap menarik pada penilaian semasa," katanya. - DagangNews.com








