KUALA LUMPUR 15 Dis — Gamuda Berhad baru-baru ini dilantik sebagai rakan penghantaran projek untuk fasa penglibatan kontraktor awal (ECI) bagi tender Mortlake Energy Hub di Victoria, Australia.
Menurut TA Securities, projek tenaga boleh diperbaharui (RE) secara hibrid berskala besar di barat daya negeri itu diusahakan menerusi Gamuda Australia dengan projek itu berkeluasan 1,060 hektar.
Firma penyelidikan itu berkata, apabila siap, ladang solar 450MW dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) 2,400MWh tersebut mampu membekalkan elektrik kepada 200,000 rumah setiap tahun.
"Kami difahamkan yang Gamuda akan mengendalikan pengurusan reka bentuk, kelulusan pihak berkuasa, perolehan utama, dan pengawasan kerja pembinaan kritikal," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kos awal fasa ECI itu jelas TA Securities, dianggarkan boleh mencecah antara A$0.5 bilion hingga A$1.0 bilion (kira-kira RM1.35 bilion hingga RM2.71 bilion) dan dinilai sebagai peluang strategik.
Ini membolehkan Gamuda menyertai penambahbaikan reka bentuk, penilaian kebolehbinaan, kejuruteraan kos, dan pengagihan risiko, sekali gus menjadikannya calon pilihan utama kontrak pembinaan penuh.
Katanya, berdasarkan anggaran kos RM3 juta/MW untuk ladang solar dan RM1 juta/MWh untuk BESS, pakej pembinaan utama berpotensi menambah RM3.8 bilion kepada buku tempahan kumpulan berkenaan.
"Ini dijangka meningkatkan keterlihatan penambahan tempahan bagi 2026, dengan Mortlake Energy Hub mendapat kelulusan di bawah Development Facilitation Program (DFP) Victoria," kata TA Securuties.
Ia sekali gus mempercepatkan proses kelulusan dan mengurangkan risiko kelewatan, dengan projek ini menyokong sasaran RE kerajaan Victoria sebanyak 65% menjelang 2030 dan 95% lagi sebelum 2035.
Kontrak terbaharu itu kata firma penyelidikan berkenaan, dijangka memperkukuh profil Gamuda dalam rantaian nilai tenaga bersih Australia yang masih banyak belum diteroka dan berpotensi amat luas.
Justeru, TA Securities mengekalkan harga sasaran RM6.58 sesaham, termasuk premium untuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 3% yang sejajar dengan penarafan iaitu empat bintang.
"Kami menegaskan saranan 'beli', dengan projek ini selaras jangkaan dan tidak menjejaskan ramalan pendapatan sedia ada, sambil mengukuh kedudukan Gamuda di Australia," katanya. - DagangNews.com








