Kontrak baharu TNB tingkatkan buku tempahan terkumpul Pekat kepada RM745 juta, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak baharu TNB tingkatkan buku tempahan terkumpul Pekat kepada RM745 juta, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jan — Kontrak baharu daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) diraih akhir tahun lalu meningkatkan buku tempahan terkumpul Pekat Group Berhad kepada RM745 juta, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut menambah, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan bagi dua tahun akan datang, berdasarkan tempoh kontrak berkenaan sendiri yang bermula 29 Disember 2025.


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.00 sesaham, berikutan prospek positif pertumbuhan mampan dijangka merentasi semua segmen operasi kumpulan berkenaan.


"Kontrak terbaharu yang bernilai RM113 juta itu dianugerahkan kepada anak syarikat tidak langsung 60% milik Pekat, iaitu EPE Switchgear (M) Sdn Bhd," jelas MBSB Research dalam satu nota kajiannya hari ini.


Tender itu merupakan kemenangan keempat daripada TNB sejak Disember 2024, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai antara pembekal utama dalam segmen voltan sederhana (11kV dan 33kV).


Daripada jumlah buku tempahan terkini, segmen peralatan pengagihan tenaga menyumbang bahagian terbesar iaitu sebanyak RM404 juta, manakala segmen solar pula mencatat kira-kira RM189 juta.


Menurut MBSB Research, perkembangan tersebut mencerminkan permintaan secara berterusan bagi banyak projek komersial, perindustrian, kediaman serta solar berskala besar (LSS) dari seluruh negara.


"Bahagian pembumian dan perlindungan kilat (ELP) merekodkan RM140 juta, disokong projek prasarana, pusat data dan sektor awam, dengan baki RM12 juta pula datang daripada segmen dagangan," katanya.


Ia menjangkakan prospek pengisian semula kerja Pekat adalah kekal sebagai positif bagi semua segmen termasuk solar yang dipacu tender LSS5+ dan LSS6, ELP oleh saluran projek pusat data yang kukuh.


EPE Switchgear terus mendapat manfaat sebagai sebahagian rantaian bekalan TNB, dengan pengurusan juga difahamkan sedang berbincang dengan pelanggan berpotensi bagi projek ladang solar 100MWac.


"Rancangan Pekat berpindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia kekal di landasan dengan sasaran 2QCY26, selepas memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) menjelang Januari 2026," kata MBSB Research.


Selain itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 7.4 sen dan nisbah nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan 27 kali, selari purata tiga tahun.


Pada dagangan awal di Pasaran ACE bursa pukul 9.15 pagi ini, saham Pekat diniagakan kukuh iaitu naik kepada RM1.70 sesaham, meningkat sebanyak 0.04 sen atau 2.41%.  - DagangNews.com