KUALA LUMPUR 16 April – Kemenangan kontrak baharu bernilai RM34.8 juta di Arab Saudi bagi pembinaan 75 unit vila di bawah pembangunan Marafy Al Arous milik ROSHN Group dijangka terus mengukuhkan prospek pendapatan MGB Berhad sehingga tahun 2027, kata Mercury Securities.
Kontrak tersebut disokong Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) dan dijangka memberi keterlihatan aliran kerja yang lebih stabil kepada kumpulan dalam tempoh jangka sederhana.
Firma penyelidikan itu berkata, projek baharu tersebut meningkatkan jumlah penggantian kontrak tahun kewangan 2026 kepada RM233.7 juta, bersamaan kira-kira 26% daripada sasaran RM900 juta yang ditetapkan kumpulan.
“Sasaran penggantian kontrak itu merangkumi RM600 juta daripada projek pembinaan di Malaysia dan RM300 juta daripada operasi di Arab Saudi, mencerminkan strategi pengembangan serantau yang lebih seimbang.
“Walaupun nilai kontrak ini tidak mengubah unjuran pendapatan sedia ada kerana telah dimasukkan dalam andaian awal, ia tetap mengekalkan momentum penambahan buku tempahan secara berterusan,” kata Mercury Securities dalam nota kajiannya hari ini.
Buku pesanan tertunggak MGB kekal kukuh sekitar RM1.32 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan sehingga sekurang-kurangnya tahun 2027 dengan sokongan projek sedia ada yang sedang berjalan.
ARTIKEL BERKAITAN: MGB raih kontrak bina 75 vila di Arab Saudi bernilai RM34.76 juta
Antara projek antarabangsa lain termasuk pembangunan Projek Alia serta projek kediaman mewah 95 unit di Irqah, Riyadh yang dianggarkan bernilai sekitar RM170 juta.
Di peringkat domestik, kumpulan turut mempunyai projek pembangunan hartanah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM2 bilion termasuk projek Idaman Kita bernilai RM269 juta.
Menurut Mercury Securities, pendedahan berulang MGB kepada projek di bawah ROSHN dan sokongan PIF meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan pelaksanaan kumpulan dalam projek berskala besar di Arab Saudi.
Dari sudut penilaian, Mercury Securities mengekalkan unjuran pendapatan kerana kontrak ini telah diambil kira dalam model kewangan, namun kekal dengan saranan “Beli” dan harga sasaran RM0.82.
Sasaran harga itu disokong oleh penilaian yang masih rendah berdasarkan P/E sekitar 11 kali bagi segmen pembinaan serta diskaun 75 peratus RNAV bagi segmen hartanah, selain hasil dividen melebihi 7 peratus.
Bagaimanapun, risiko utama kekal tertumpu kepada ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah, kenaikan kos pembinaan serta keupayaan kumpulan mengekalkan momentum penggantian kontrak pada masa hadapan. - DagangNews.com








