MGB raih kontrak bina 75 vila di Arab Saudi bernilai RM34.76 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MGB raih kontrak bina 75 vila di Arab Saudi bernilai RM34.76 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 April - MGB Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya secara tidak langsung, MGB International For Industry, memperoleh kontrak pembinaan projek perumahan di Arab Saudi bernilai kira-kira RM34.76 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata anak syarikatnya itu telah menerima surat penganugerahan daripada ROSHN Group Company bagi pembinaan 75 unit vila di bawah Projek Pembangunan Marafy Al Arous, Fasa 1A Zon B melibatkan Blok 104, 105 dan 106 di negara berkenaan.

 

Nilai keseluruhan kontrak tersebut adalah sebanyak 32.98 juta riyal Arab Saudi (SAR), bersamaan kira-kira RM34.76 juta berdasarkan kadar pertukaran semasa.

 

Menurut syarikat itu, tarikh permulaan projek akan ditetapkan melalui Notis Untuk Mula Kerja yang akan dikeluarkan oleh pihak majikan, dengan tempoh pelaksanaan selama 242 hari kalendar atau kira-kira lapan bulan dari tarikh tersebut.

 

Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan serta mengukuhkan buku pesanan sedia ada.

 

“Projek ini merupakan langkah strategik dalam memperluaskan kehadiran pembinaan kumpulan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang di peringkat serantau,” kata kenyataan itu.

 

MGB berkata kontrak tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil serta aset bersih sesaham sepanjang tempoh pelaksanaan projek. - DagangNews.com