KUALA LUMPUR 24 Dis – ITMAX System Berhad diramal mencatat pertumbuhan hasil kukuh pada tahun kewangan 2026, didorong kontrak pernah diterimanya daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), tender berkenaan melibatkan usaha pengkomersialan projek pemasangan sejumlah 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh ibu negara tersebut.
Firma penyelidikan itu berkata, kerja-kerja berkenaan kini dilaksanakan kumpulan tersebut secara berperingkat dan berada di landasan untuk beroperasi sepenuhnya menjelang separuh pertama 2026.
"Projek ini berpotensi menjana hasil sekitar RM60 juta dengan keuntungan kira-kira RM24 juta, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan ITMAX sendiri," tambahnya dalam nota kajian hari ini.
HLIB turut menekankan profil pendapatan berulang yang kukuh susulan penerimaan kontrak baharu bagi penyediaan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan sistem lampu isyarat pintar daripada DBKL.
Tender diperoleh pada 23 Disember 2025 yang bernilai RM42 juta bagi tempoh tiga tahun itu meliputi 600 unit lampu isyarat pintar dengan dijangka menjana hasil berulang sekitar RM14 juta setahun.
Artikel berkaitan: ITMAX peroleh kontrak RM42 juta urus sistem kawalan trafik pintar DBKL
Pada masa sama, firma berkenaan menganggarkan margin keuntungan bersih menerusi projek terkini yang diraih ITMAX itu mencecah antara 40% hingga 45%, sejajar dengan projek CCTV DBKL sedia ada.
"Lanjutan kontrak tersebut mencerminkan tahap kebergantungan DBKL terhadap perkhidmatan ITMAX, sekali gus meletakkan kumpulan itu pada kedudukan baik untuk lebih banyak projek," kata HLIB.
Selain itu jelasnya, DBKL dijangka melaksanakan fasa seterusnya pemasangan antara 5,000 hingga 10,000 unit CCTV dalam usaha pihak berkuasa tersebut mencapai sasaran 20,000 kamera pada 2028.
Justeru, dengan infrastruktur gentian optik yang sudah lama tersedia serta pasukan pemasangan berpengalaman luas, ITMAX dianggarkan mampu memasang sehingga 10,000 unit CCTV setiap tahun.
Di samping itu, HLIB melihat potensi peningkatan daripada kemungkinan penganugerahan projek CCTV di Johor, khususnya di Greater Johor Bahru, dengan ITMAX kini mengendalikan 1,700 unit CCTV.
"Berdasarkan situasi semasa itu, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.74 sesaham, berdasarkan penilaian aliran tunai diberi diskaun (DCF)," katanya.
Penilaian berkenaan kata firma penyelidikan itu, turut disokong oleh prospek jangka panjang sektor bandar pintar dan agenda pendigitalan nasional di seluruh Malaysia. - DagangNews.com








