Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu bangunkan 564 unit rumah bercampur di Marang bernilai RM170 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu bangunkan 564 unit rumah bercampur di Marang bernilai RM170 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 18 Jun – Projek pembangunan rumah bercampur bernilai RM170 juta melibatkan 564 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan rumah komersial akan dibangunkan di Taman Koperat, Kampung Alur Limbat dekat Marang yang akan memperluaskan akses pemilikan rumah kepada rakyat di daerah itu dan kawasan sekitarnya.

 

Projek berkenaan dimajukan oleh Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT) dengan kerjasama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebagai pemilik tanah.

 

Daripada jumlah keseluruhan 564 unit itu, sebanyak 240 unit terdiri daripada Rumah Mampu Milik jenis A dan B yang disasarkan khusus kepada golongan B40.

 

Selebihnya merupakan rumah komersial yang ditawarkan pada harga berpatutan bagi memenuhi keperluan dan permintaan pasaran setempat.

 

Projek tersebut dijangka dilaksanakan secara berfasa dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang tahun 2030 mengikut perancangan semasa.

 

Fasa pertama pembangunan dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun sebelum disusuli fasa-fasa seterusnya sehingga keseluruhan unit dapat disiapkan sepenuhnya.

 

Lokasi pembangunan itu turut dianggap strategik kerana terletak berhampiran Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dijangka meningkatkan nilai serta aksesibiliti kawasan berkenaan pada masa akan datang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek ini memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya golongan B40 yang berhasrat memiliki rumah sendiri.

 

Beliau berkata, pembangunan berkenaan juga mencerminkan usaha berterusan KOPERAT dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat di Terengganu.

 

“KOPERAT telah berjaya membangunkan lebih 3,000 unit rumah di seluruh Terengganu sepanjang 30 tahun penubuhannya dari Kemaman hingga ke Besut,” katanya di majlis pelancaran rumah contoh projek tersebut hari ini.

 

Pembangunan Taman KOPERAT Alur Limbat ini dijangka memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kediaman mampu milik serta pembangunan kawasan yang lebih tersusun di Terengganu.- DagangNews.com