KUALA LUMPUR 18 Jun – Binastra Corporation Berhad memulakan tahun kewangan 2027 (FY27) dengan mencatatkan lonjakan untung bersih 40.3% kepada RM35.3 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2026.
Menurut kumpulan itu, peningkatan prestasi dipacu terutamanya sumbangan daripada segmen pembinaan teras, khususnya pengembangan ke dalam perkhidmatan baharu seperti projek pemasangan solar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut melaporkan pelbagai projek itu menjana RM221.8 juta, selain sumbangan lebih tinggi daripada projek pembinaan konvensional dan pusat data (DC).
Pendapatan melonjak 135.8% kepada RM605.6 juta berbanding RM256.8 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi tempoh itu naik 54.0% kepada RM50.8 juta.
"Keputusan kewangan ini mencerminkan daya tahan portfolio pelbagai projek dan kejayaan pelaksanaan strategi pertumbuhan," ulas Pengarah Urusan Binastra, Datuk Jackson Tan Kak Seng dalam kenyataan.

Di samping itu ujar beliau, pengembangan ke dalam projek pemasangan solar turut memperkukuh asas pendapatan, manakala projek pembinaan teras dan DC terus memberikan sumbangan yang stabil.
Tambahnya, bahawa walaupun persekitaran operasi kekal dinamik berikutan turun naik harga bahan binaan, kumpulan akan terus memberikan tumpuan kepada pelaksanaan projek secara lebih berdisiplin.
Ini termasuk pengurusan kos berhemat dan kecekapan operasi, dengan keutamaan ini membolehkan ia mengemudi cabaran dengan berkesan sambil memberi nilai kepada pelanggan dan pemegang sahamnya.
"Setakat ini, Binastra mempunyai buku tempahan terkumpul berjumlah kira-kira RM6.8 bilion dengan kontrak baharu yang dimenangi dalam FY27 sehingga kini sudah berjumlah RM819.5 juta," jelasnya.
Kedudukan ini dijangka memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan untuk tempoh empat tahun kewangan akan datang. - DagangNews.com








