KUALA LUMPUR 18 Jun - Swift Energy Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Swift Energy Technology Bhd (SET), memperoleh dua kontrak baharu dengan nilai gabungan kira-kira RM44.15 juta melibatkan sektor minyak dan gas serta pusat data di Malaysia dan Thailand.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SET berkata kontrak tersebut diperoleh daripada Offshore Oil Engineering Co. Ltd. (COOEC) dan Cummins Sales and Service Sdn Bhd.
Kontrak pertama melibatkan pembekalan 18 set Sistem Kuasa Solar Ex (Ex Solar Power System) untuk Projek PTTEP Bundled Phases 4 di Thailand yang dianugerahkan oleh COOEC.
Projek berkenaan dijangka dilaksanakan dan dihantar secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Sementara itu, kontrak kedua yang diterima daripada Cummins Sales and Service Sdn Bhd melibatkan pembekalan 34 set Perintang Pembumian Neutral (Neutral Earthing Resistor) 11kV Cressall bagi sebuah pusat data di Malaysia.
Kontrak tersebut dijangka disiapkan dan dihantar menjelang Januari 2027.
SET berkata, kedua-dua kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.
Menurut syarikat itu, kontrak berkenaan tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
“Risiko yang berkaitan dengan kontrak-kontrak tersebut adalah terhad kepada risiko perniagaan biasa dan kontrak ini tidak boleh diperbaharui,” katanya.
Lembaga Pengarah SET berpandangan bahawa penerimaan kedua-dua kontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan selaras dengan strategi pertumbuhannya dalam segmen tenaga serta infrastruktur kritikal.
Perolehan kontrak baharu itu turut mengukuhkan kedudukan Swift Energy dalam penyediaan rumusan tenaga khusus bagi sektor minyak dan gas serta industri pusat data yang terus berkembang pesat di rantau ini. - DagangNews.com








