EI Power peroleh kontrak pusat data Johor bernilai RM90.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EI Power peroleh kontrak pusat data Johor bernilai RM90.1 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Jun - EI Power Berhad (EIP) memperoleh kontrak bernilai RM90.1 juta bagi kerja-kerja sistem tenaga untuk sebuah pusat data di Johor, sekali gus meningkatkan buku tempahan belum dibilkan kumpulan itu kepada RM222.5 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penyedia rumusan kejuruteraan kuasa itu berkata, kontrak berkenaan diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, EI Power Technologies Sdn Bhd, melalui Perjanjian Subkontrak Kerja (WSA) yang dianugerahkan oleh sebuah kontraktor utama yang terlibat dalam sektor kejuruteraan, pembinaan dan pegangan pelaburan.

 

Bagaimanapun, identiti kontraktor utama tersebut tidak didedahkan selaras dengan syarat kerahsiaan yang terkandung dalam perjanjian berkenaan.

 

Skop kerja merangkumi pelaksanaan penuh pakej sistem tenaga untuk pusat data tersebut, termasuk pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan.

 

Kerja-kerja projek telah dimulakan sebaik sahaja perjanjian diterima dan dijadualkan siap pada September 2027.

 

EIP berkata, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek, selain mengukuhkan lagi saluran pendapatan masa hadapan syarikat.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EIP, Ir. Albert Chang Wan Siong berkata, penganugerahan kontrak itu mencerminkan pengiktirafan industri terhadap keupayaan syarikat dalam bidang kejuruteraan kuasa yang kompleks.

 

“Ia diterima hanya beberapa minggu selepas penyenaraian syarikat dan mencerminkan trajektori pertumbuhan yang kami sasarkan untuk disampaikan kepada para pemegang saham,” katanya.

 

Beliau berkata, sektor pusat data kekal sebagai antara segmen pertumbuhan paling menarik di Malaysia berikutan permintaan yang terus meningkat serta sokongan kukuh daripada pembangunan ekonomi digital negara.

 

Menurutnya, kontrak tersebut mencerminkan peluang besar yang tersedia kepada syarikat untuk terus mengembangkan perniagaan dalam sektor pusat data, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur.

 

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan momentum ini bagi memperoleh lebih banyak kontrak dalam sektor pusat data, tenaga boleh diperbaharui dan segmen infrastruktur lain yang menjadi pemacu pertumbuhan Malaysia,” katanya.

 

EIP yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 21 Mei 2026 berjaya mengumpul RM62.2 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO). Hasil dana itu akan digunakan bagi memperluaskan operasi syarikat termasuk pembinaan ibu pejabat baharu, pembukaan cawangan di Johor serta pengembangan perniagaan ke Thailand. - DagangNews.com