KUALA LUMPUR 27 Ogos — Konsortium Bumi Group of Companies memilih sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan itu pada 30 Ogos 2026 dengan memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) strategik.
Menurut kenyataan kumpulan tersebut, usaha berkenaan merangkumi sektor minyak dan gas (O&G), tenaga, pertanian pintar serta perkhidmatan perundingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Kerjasama itu mencerminkan usaha kumpulan memperluaskan portfolio melangkaui bidang kejuruteraan konvensional, dan meneroka peluang dalam sektor pertumbuhan baharu yang semakin mendapat perhatian.
Pengarah Urusan Kumpulan Konsortium Bumi, Datuk Ir Janang Anak Bungsu berkata, syarikat itu mahu memperkukuh keupayaannya sebagai penyedia perkhidmatan pelbagai industri di seluruh Sarawak.
"MoU pertama dijangka melibatkan konsortium ini dan Black Hornbill bagi memformalkan kerjasama untuk mendapatkan kontrak selama lima tahun daripada Petroleum Sarawak Bhd (PETROS)," katanya.
Konsortium itu membawa pengalaman serta lesen sedia ada hasil penglibatan dengan syarikat seperti PETRONAS, Nippon dan Shell, manakala Black Hornbill pula menyumbang kepakaran tenaga pekerja.
Teroka Teknologi Penjanaan Elektrik
Bagi sektor tenaga, Konsortium Bumi akan memeterai MoU dengan sebuah syarikat dari Sepanyol bagi meneroka teknologi yang menukar metanol kepada hidrogen dan menjana elektrik melalui sistem khas.
Kerjasama itu ujar Janang, melibatkan kajian kebolehlaksanaan untuk membekalkan elektrik ke kawasan luar bandar, yang disokong geran sebanyak 600,000 euro (RM2.8 juta) daripada kerajaan Sepanyol.
"Dalam sektor pertanian, Konsortium Bumi bekerjasama dengan perunding industri padi dari Melaka dan Selangor, bagi memperkenalkan teknologi pertanian pintar dalam penanaman padi di Sarawak," katanya.
Kerjasama berkenaan tambah beliau, memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti aktiviti penanaman padi.
MoU keempat pula membabitkan kerjasama dengan AGV Group untuk memperluaskan perkhidmatan rundingan ESG, dengan menggabungkan pengalaman dan kepakaran rumusan amalan daripada syarikat tersebut.
Konsortium Bumi yang merupakan firma perunding kejuruteraan Dayak pertama ditubuhkan di Sarawak kini mahu menjadikan empat kerjasama strategik itu sebagai asas pertumbuhan baharu.
"Kami mahu bergerak ke hadapan selepas dua dekad terbabit dalam pelbagai projek serta memperoleh pendaftaran daripada pelbagai badan profesional, agensi kerajaan dan organisasi industri," katanya. - DagangNews.com








