KUALA LUMPUR 29 April - Prospek pertumbuhan LPI Capital Bhd kekal positif dalam jangka sederhana, meskipun berdepan risiko luaran daripada konflik geopolitik berterusan yang berpotensi menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih perlahan selain meningkatkan kos tuntutan.
MBSB Research berkata, pihaknya kekal optimistik terhadap hala tuju pertumbuhan syarikat itu, namun memberi peringatan peperangan yang masih berlanjutan boleh menjejaskan momentum tersebut.
"Kenaikan kos logistik dan harga bahan api berpotensi meningkatkan kos tuntutan serta menjejaskan pertumbuhan dalam suku-suku akan datang.
"Selain itu, kelembapan permintaan dalam persekitaran ekonomi yang lemah juga dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan premium," katanya dalam nota kajian hari ini.
MBSB Research berkata, pendedahan LPI 100% kepada insurans am memberi sedikit kelebihan dan tidak terjejas oleh cabaran insurans kesihatan.
Tambahnya, kebergantungan lebih rendah kepada pendapatan pelaburan menjadikan pertumbuhan kurang terdedah kepada kelemahan pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, pelupusan saham Public Bank oleh LPI yang sebelum ini disasarkan selesai menjelang Jun 2026 kini dilanjutkan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pemegang saham.
Langkah itu turut membuka ruang kepada kemungkinan pembayaran dividen khas pada tahun kewangan 2026, yang dianggarkan mencecah sehingga RM783 juta berdasarkan harga semasa saham Public Bank.
Dari sudut penilaian, LPI kini didagangkan pada nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) hadapan FY27 sebanyak 1.93 kali dengan hasil dividen sekitar 6.2%, yang dilihat masih menarik berbanding purata 10 tahun sebanyak 2.76 kali.
Sehubungan itu, penganalisis mengekalkan saranan “BELI” ke atas saham LPI dengan harga sasaran disemak kepada RM15.42, lebih rendah berbanding RM16.65 sebelum ini, bagi mencerminkan unjuran pertumbuhan yang lebih sederhana.
Unjuran keuntungan bersih teras bagi FY26 hingga FY28 turut disemak turun sekitar 5% setiap tahun, mengambil kira prospek ekonomi yang lebih mencabar. - DagangNews.com








