Komunikasi beretika asas kestabilan dan kepercayaan negara, kata Sultan Nazrin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Komunikasi beretika asas kestabilan dan kepercayaan negara, kata Sultan Nazrin

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 13 Nov – Komunikasi yang berteraskan integriti, pengetahuan dan kejujuran merupakan asas kepada kelangsungan kepercayaan awam serta kestabilan nasional, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

Baginda bertitah, dalam era digital yang berkembang pesat, keupayaan manusia untuk mengekalkan nilai-nilai kemanusiaan dalam komunikasi adalah lebih penting berbanding kecekapan teknologi semata-mata.

 

“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian. Maka, kata-kata kita mesti menghubungkan, bukan memisahkan. Seperti pepatah Melayu menyebut, kata-kata itu senjata bangsa, justeru mereka yang berkomunikasi secara terbuka mesti berhati-hati dan bertanggungjawab,” titah baginda.

 

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah demikian pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCF Malaysia 2025) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan HRDCorp di ibu negara, hari ini.

 

Persidangan selama tiga hari yang berlangsung hingga Sabtu itu menghimpunkan lebih 250 peserta antarabangsa termasuk pengamal komunikasi, pendidik dan pembuat dasar dari seluruh ASEAN dan peringkat global.

 

Menurut baginda, para pengamal komunikasi mempunyai tanggungjawab besar dalam menegakkan kebenaran serta memastikan wacana awam kekal beradab dan berfakta, khususnya ketika berdepan cabaran maklumat palsu yang semakin meluas.

 

“Komunikasi yang mencelikkan minda, bukan membakar emosi, adalah kunci kepada maruah institusi dan perpaduan rakyat. Mereka yang berkomunikasi awam mesti memilih kata dengan kebijaksanaan, keprihatinan dan hati nurani kerana integriti bahasa adalah asas kepada kepercayaan awam dan kestabilan negara,” titah baginda lagi.

 

Baginda turut menegaskan, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) membuka peluang besar dalam penyampaian maklumat, namun pada masa sama mencabar keupayaan manusia dalam menilai kebenaran.

 

“Adalah tanggungjawab wartawan, strategis, pendidik dan pemimpin untuk memanusiakan teknologi, memastikan inovasi tidak menggantikan empati dan kelajuan tidak mengatasi keikhlasan,” titah baginda.

 

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada para pengamal perhubungan awam di Malaysia yang terus memperkukuh kerjasama dengan badan profesional antarabangsa seperti IPRM, PRCA dan CIPR serta memperluas jaringan dengan institusi media tempatan.

 

Katanya, usaha tersebut menunjukkan kematangan industri komunikasi negara yang bukan sahaja menguasai teknologi komunikasi, tetapi memahami peranan utamanya yang menghubungkan manusia, membina keyakinan serta memupuk keharmonian dalam dunia yang semakin kompleks.

 

“Melalui GPRCF Malaysia 2025, saya berharap platform ini akan memperkukuh silaturahim antara pengamal, pendidik dan pembuat dasar serta memperteguh suara Malaysia dalam komuniti komunikasi global,” titah baginda.

 

Baginda menutup titah dengan mengingatkan bahawa kepimpinan dan komunikasi adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan.

 

“Seperti yang pernah diungkapkan penulis ucapan Presiden Amerika, James Hughes the art of communication is the language of leadership. Sementara kecerdasan menggerakkan inovasi, kemanusiaanlah yang memberikan komunikasi maknanya,” titah Sultan Nazrin.

 

Baginda kemudian merasmikan pembukaan rasmi Global Public Relations Conference and Festival Malaysia (GPRCFMY 2025). - DagangNews.com