Komitmen perkhidmatan Malaysia tidak diberi automatik kepada AS, Dewan Negara dimaklumkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Komitmen perkhidmatan Malaysia tidak diberi automatik kepada AS, Dewan Negara dimaklumkan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Dis - Komitmen perkhidmatan di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) tidak dilanjutkan automatik kepada firma AS tanpa akses timbal balik.


Perkara tersebut ditegaskan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara yang dikemukakan Senator Tan Sri Low Kian Chuan.


Menurutnya, artikel 2.7 ART turut meliputi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang disertai Malaysia.


"Justeru artikel ini menyatakan ia menggabungkan, sebarang komitmen perdagangan perkhidmatan yang Malaysia telah atau akan buat dalam perjanjian perdagangan dengan negara ketiga,” jelas beliau.


Beliau menjawab soalan Kian Chuan yang ingin penjelasan apakah perkara tersebut secara automatik  tanpa akses timbal balas melanjutkan komitmen negara ini di bawah CPTPP dan RCEP kepada firma AS.  


Chin Tong seterusnya menekankan prinsip 'mutatis mutandis' yang digariskan di bawah ART itu juga berfungsi sebagai klausa 'most-favoured-nation' (MFN) atau layanan untuk negara paling digemari.


Ini jelas beliau, termasuk dalam sektor perkhidmatan, yang memastikan Malaysia tidak memberikan sebarang layanan lebih baik kepada rakan dagang lain, tanpa memperluaskannya pula kepada AS.


"Peruntukan ini terpakai untuk RCEP dan CPTPP sebagai sebahagian pakej komitmen Malaysia, meliputi kepastian tarif timbal balik pada kadar 19%, dan pengecualian 1,711 produk eksport," katanya.


Selain itu jelas Chin Tong, prinsip berkenaan turut memberi pertimbangan yang sewajarnya oleh kerajaan AS dalam isu pengenaan tarif tambahan ke atas sektor semikonduktor dari Malaysia.


Beliau menegaskan, perjanjian yang sedia ada juga menjamin perlindungan sektor strategik negara, dengan syarat, had, dan pengecualian yang memastikan kepentingan Malaysia kekal terpelihara.


“Ini bermakna sektor strategik Malaysia tidak terdedah secara automatik kepada akses pasaran tanpa kawalan atau pengecualian yang sesuai,” tambah beliau. - DagangNews.com