KNM fail saman lebih RM600 juta terhadap NGK Insulators susulan kegagalan jual unit Jerman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KNM fail saman lebih RM600 juta terhadap NGK Insulators susulan kegagalan jual unit Jerman

KUALA LUMPUR 2 April - KNM Group Bhd dan anak syarikatnya, KNM Process Systems Sdn Bhd memfailkan saman melebihi RM600 juta terhadap syarikat Jepun, NGK Insulators Ltd serta dua eksekutifnya berhubung kegagalan penjualan unitnya di Jerman, Deutsche KNM.

 

Berdasarkan writ saman, NGK Insulators telah menarik diri secara rasmi daripada perjanjian bernilai €270 juta (RM1.26 bilion) bagi pengambilalihan Deutsche KNM pada 29 Januari 2026.

 

Deutsche KNM merupakan pemilik kepada Borsig GmbH, aset utama yang sebelum ini dirancang untuk dilupuskan sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula KNM.

 

 

 

 

KNM mendakwa tindakan NGK Insulators serta dua eksekutifnya, Takashi Yamada dan Yasushi Morinaga, telah menggagalkan urus niaga tersebut melalui perlakuan tort atau kesalahan menyebabkan kerugian yang menjejaskan usaha pemulihan kewangan kumpulan.

 

Menurut KNM, hasil daripada penjualan itu amat penting bagi melunaskan kira-kira RM1.37 bilion hutang serta menyokong kestabilan kewangan syarikat.

 

Dalam tuntutannya, KNM memohon ganti rugi sebanyak RM363 juta atas kerugian nilai syarikat tersenarai dan permodalan pasaran susulan penyahsenaraian, selain €46.5 juta berkaitan pendedahan kepada pinjaman sindiket di Jerman.

 

Anak syarikatnya, KNM Process Systems turut menuntut RM42.693 juta bagi kos profesional, perundangan dan transaksi yang didakwa membazir.

 

KNM mendakwa kegagalan urus niaga berpunca daripada tindakan NGK Insulators yang mengenakan syarat baharu pada saat akhir, termasuk keperluan unjuran kewangan tambahan bagi tempoh tahun kewangan 2026 hingga 2028, menjelang tarikh akhir 26 November 2025.

 

Situasi itu, menurut KNM, telah melengahkan proses dan akhirnya menyebabkan urus niaga tidak dapat dimuktamadkan, sekali gus menjejaskan pelan penstrukturan semula kumpulan.

 

Sehubungan itu, KNM mendakwa NGK Insulators bertanggungjawab atas kesalahan termasuk mendorong pelanggaran kontrak, campur tangan tidak sah dalam urusan perdagangan serta konspirasi untuk menjejaskan perniagaan melalui cara yang menyalahi undang-undang.

 

Bagi memudahkan transaksi tersebut, KNM sebelum ini telah mengambil beberapa langkah termasuk menarik balik rayuan kawal selia serta dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 5 November 2025.

 

 

 

 

 

 

Syarikat itu turut menghantar surat tuntutan kepada NGK Insulators sebelum ini, namun mengambil tindakan undang-undang selepas gagal menerima sebarang maklum balas.

 

"Memandangkan saman difailkan terhadap syarikat asing, KNM perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi bagi membolehkan dokumen perundangan diserahkan ke Jepun," lapor The Edge.