Knight Frank dilantik urus Arden, projek kediaman 68 tingkat di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Knight Frank dilantik urus Arden, projek kediaman 68 tingkat di Johor Bahru

Foto ihsan Arden OBS
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 OktKnight Frank Property Management Sdn Bhd (KFPM) dilantik sebagai pengurus hartanah secara rasmi bagi Arden Serviced Residence @ One Bukit Senyum, di Johor Bahru, Johor.


Menara kediaman yang setinggi 68 tingkat tersebut sedang dibangunkan oleh syarikat Astaka Holdings Ltd dan terletak strategik di pusat bandar raya ibu negeri berkenaan.


Dengan ketinggian 260 meter, Arden bakal menjadi bangunan kediaman kedua paling tinggi di Johor Bahru dan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM800 juta.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astaka, Allen Khong, pemilihan KFPM dibuat berdasarkan rekod prestasi cemerlang dalam menguruskan projek terdahulu seperti The Astaka dan Aliva Mount Austin.


“Mereka berperanan penting dalam membantu The Astaka meraih pengiktirafan ‘Anugerah Pengurusan dan Kelestarian Hartanah Terbaik The Edge 2024' – satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.


Beliau turut menekankan yang kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk membentuk masa depan Johor Bahru, melalui pembangunan komuniti secara lebih berdaya huni dan mampan.


Pengarah Urusan KFPM, Kuruvilla Abraham berkata, projek mega seperti Arden memerlukan pengurusan hartanah yang bukan sahaja cekap secara operasi, tetapi menitikberatkan inovasi dan kelestarian.


“Kami gembira dilantik untuk projek berprestij ini. Komitmen kami adalah meningkatkan nilai hartanah Arden serta memperkayakan gaya hidup penghuni seiring piawaian kediaman mewah,” katanya.


Projek pembinaan Arden yang sudah bermula sejak Mei 2025, dijadualkan siap menjelang 2030, dan setelah dilancarkan pada Mac 2025, hartanah itu mencapai kadar ambilan jualan sebanyak 80%.


Perkembangan itu menunjukkan sambutan kukuh terhadap produk kediaman mewah di wilayah selatan dan dijangka menjadi mercu tanda terkini Johor Bahru, sejajar aspirasi bandar raya itu. - DagangNews.com