KMI Healthcare diiktiraf The BrandLaureate, terima anugerah kecemerlangan penjagaan kesihatan mesra Muslim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KMI Healthcare diiktiraf The BrandLaureate, terima anugerah kecemerlangan penjagaan kesihatan mesra Muslim

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 April – KMI Healthcare terus melakar pencapaian baharu apabila menerima pengiktirafan The BrandLaureate World Halal BestBrands Awards 2026 bagi kategori Kecemerlangan dalam Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Mesra Muslim.

 

Anugerah berprestij itu dianugerahkan oleh The World Brands Foundation kepada jenama yang menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan, inovasi serta komitmen terhadap pembangunan ekosistem Halal global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata pengiktirafan itu merupakan satu pencapaian bermakna yang mencerminkan usaha berterusan organisasi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.

 

“KMI Healthcare bukan sahaja mengutamakan kecemerlangan klinikal, tetapi juga memastikan nilai kepercayaan, kualiti dan integriti terus menjadi asas dalam setiap perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan KMI Healthcare dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi yang menitikberatkan etika serta keutamaan kepada penjagaan pesakit.

 

t
Majlis penyampaian anugerah berlangsung di Hotel The Majestic, Kuala Lumpur

 

t

 

KMI Healthcare menegaskan komitmennya untuk memenuhi keperluan pesakit Muslim melalui pendekatan perkhidmatan yang berteraskan nilai kepercayaan, integriti dan patuh Syariah.

 

Syarikat itu turut berada dalam fasa akhir ke arah pensijilan MS1900:2014, iaitu sistem pengurusan kualiti berasaskan pematuhan Syariah, sebagai usaha memperkukuh standard perkhidmatan.

 

Menurut KMI Healthcare, pengiktirafan tersebut turut mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan yang dipercayai serta responsif terhadap keperluan budaya dan agama pesakit.

 

Dalam masa sama, KMI Healthcare sedang memperluaskan rangkaian perkhidmatannya menerusi pembangunan hospital baharu di Bertam, Pulau Pinang dan Chukai, Terengganu.

 

Selain itu, kerja-kerja naik taraf turut dijalankan di KMI Taman Desa Medical Centre di Kuala Lumpur serta KMI Tawau Medical Centre di Sabah bagi meningkatkan kemudahan dan kualiti perkhidmatan.

 

KMI Healthcare akan terus memperkukuh inovasi serta memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi memastikan kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan. - DagangNews.com