KMI Healthcare bina hospital swasta RM146 juta di Bertam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KMI Healthcare bina hospital swasta RM146 juta di Bertam

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Mac — KMI Bertam Medical Centre Sdn Bhd, anak syarikat KMI Healthcare, bakal membangunkan sebuah hospital swasta yang berkapasiti 100 katil di Bertam, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang bersama Bertam Specialist Hospital Sdn Bhd (BSHSB).
 

Ia susulan pemeteraian Perjanjian Membina dan Menyewa dengan kos pembangunan kasar (GDC) RM146 juta, menandakan kejayaan besar strategi Greenfield KMI Healthcare, dan menambah sebuah hospital baharu dalam rangkaian hospital KMI yang semakin berkembang.
 

KMI Bertam akan menyewa kemudahan hospital tersebut yang terletak secara strategik di atas tapak seluas 0.85 hektar daripada BSHSB untuk tempoh awal 18 tahun, dengan pilihan lanjutan selama 12 tahun, memastikan kelestarian operasi jangka panjang.

 

"Ia menawarkan akses mudah melalui lebuh raya PLUS kerana lokasinya berdekatan Kepala Batas hanya lima hingga 10 minit pemanduan berkereta dari susur plaza tol Bertam yang menjadikannya sangat mudah untuk pesakit dan pengunjung," katanya dalam satu kenyataan.
 

Hospital baharu itu dijangka memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk dalam kalangan populasi tempatan serta komuniti Seberang Perai Utara dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan perubatan asas dan penjagaan khusus yang moden dan terkini.
 

Selain itu, lokasi strategik dan kemudahan canggih hospital ini turut membuka peluang besar untuk menyokong inisiatif pelancongan perubatan Pulau Pinang, serta menarik minat para pesakit antarabangsa yang mencari perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.
 

Projek yang menggunakan model perniagaan aset ringan, bakal membolehkan pihak KMI Bertam menumpukan perhatian kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, manakala BSHSB pula menguruskan pembangunan dan pemilikan kemudahan hospital.
 

"Model ini memastikan peruntukan modal yang cekap dan fleksibiliti operasi, selari dengan strategi pertumbuhan jangka panjang KMI Healthcare. Ia juga menekankan komitmen KMI Healthcare mengembangkan pengaruhnya dalam sektor kesihatan Malaysia," katanya.
 

Penambahan hospital berkenaan ke dalam rangkaian hospital KMI turut mencerminkan usaha dedikasi kumpulan tersebut dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan mudah diakses kepada komuniti setempat di seluruh negara.
 

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali, berkata, perjanjian ini merupakan langkah penting dalam misi untuk mengembangkan rangkaian hospital KMI dan menyampaikan penjagaan kesihatan berkualiti kepada lebih banyak komuniti.
 

"Hospital Pakar Bertam bukan sahaja akan berkhidmat untuk penduduk tempatan tetapi juga menyumbang kepada potensi pelancongan perubatan Pulau Pinang,” jelas beliau.
 

Sementara itu, Pengarah Urusan BSHSB, Datuk Seri A K Teng, menambah bahawa pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan KMI Healthcare malah lokasi strategik dan prasarana moden akan menetapkan standard baharu dalam penyampaian penjagaan kesihatan rantau ini. 
 

"Perkongsian sebegini mencerminkan komitmen bersama kami untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan dengan premis dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan dan pembedahan canggih, termasuk beberapa pusat perkhidmatan diagnostik," katanya.
 

Pembangunan projek itu dijangka bermula tahun ini dengan sasaran siap pada 2028. KMI Healthcare yang ditubuhkan sejak 1996 merupakan subsidiari TDM Berhad yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan setakat ini menguruskan lima hospital di seluruh Malaysia. - DagangNews.com