KLRA+SD persoal ketiadaan maklumat awam telus dalam Belanjawan DBKL 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLRA+SD persoal ketiadaan maklumat awam telus dalam Belanjawan DBKL 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 DisPersatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) menyuarakan kebimbangan serius berhubung kurangnya ketelusan dan maklumat awam yang berterusan mengenai belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun kewangan akan datang.


Menurut persatuan tersebut, ketiadaan pendedahan awam yang jelas mengenai Belanjawan DBKL 2026 menjelang penghujung tahun amat membimbangkan bagi penduduk dan pembayar cukai di ibu kota. 


KLRA+SD menegaskan ketelusan mengenai pengurusan dana awam hasil daripada cukai taksiran penduduk dan perniagaan bukan sekadar pilihan, sebaliknya merupakan hak asasi pembayar cukai.


"Kami mendapati dalam tahun-tahun sebelumnya, pengumuman belanjawan sering kali hanya memaparkan angka utama tanpa perincian mengenai keutamaan, pelan pelaksanaan, atau pecahan perbelanjaan yang mendalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Seterusnya, walaupun DBKL sudah mengadakan sesi 'town hall' belanjawan pada Jun 2025, KLRA+SD mendapati tiada komunikasi susulan diberikan kepada orang awam mengenai projek atau inisiatif khusus yang dibincangkan. 


Selain itu, persatuan tersebut turut membangkitkan beberapa isu kritikal, antaranya Laporan Tahunan DBKL didapati tidak dikemas kini secara berkala, dengan setakat ini hanya Laporan Tahunan 2022 yang hanya dimuat naik pada Januari 2025.


KLRA+SD turut membandingkan tahap ketelusan DBKL dengan 'Greater London Authority' yang menyediakan garis masa serta tarikh pembentangan belanjawan yang jelas kepada pembayar cukai menerusi laman web rasmi mereka.


"Justeru, bagi memastikan tadbir urus bandar yang moden dan inklusif, KLRA+SD menggesa DBKL untuk menjelaskan status semasa Belanjawan DBKL 2026, sama ada ia telah dimuktamadkan dan diluluskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan atau masih dalam pertimbangan," katanya.


Persatuan itu turut mahu DBKL mendedahkan cadangan belanjawan serta inisiatif utama secara tepat pada masanya, serta memberikan kejelasan mengenai maklum balas awam yang diterima semasa sesi rundingan agar ia tidak sekadar menjadi proses simbolik.

 

 

 

 


Mereka turut meminta DBKL menerbitkan serta mengemas kini maklumat kewangan secara berkala untuk akses awam yang lebih mudah.


KLRA+SD yang mewakili persatuan penduduk di seluruh Kuala Lumpur kekal komited untuk berinteraksi secara konstruktif dengan DBKL demi merealisasikan aspirasi Kuala Lumpur sebagai sebuah 'Bandar Untuk Semua' yang mampan dan ditadbir dengan baik. - DagangNews.com