KUALA LUMPUR 31 Dis - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mencatatkan lonjakan untung bersih sebanyak 38% kepada RM817.3 juta bagi tahun kewangan semasa berakhir pada 30 September 2025 (FY25).
Kumpulan tersebut berkata, ia meningkat berbanding RM591.0 juta pada tahun sebelumnya, didorong terutama oleh prestasi luar biasa bahagian perladangan teras kumpulan yang menjadi pemacu utama.
Segmen itu mencatatkan pertambahan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 41% kepada RM2.28 bilion, berikutan harga jualan purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) tinggi.
"Ia turut dibantu peningkatan pendapatan buah tandan segar (BTS), dan secara keseluruhan, hasil naik kepada RM25.02 bilion berbanding RM22.27 bilion pada FY24," maklum KLK kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, PBT mencatatkan RM1.51 bilion, meningkat daripada RM1.18 bilion pada tahun sebelumnya, manakala harga purata MSM ialah RM3,964 setiap tan metrik (mt) dan PK pula mencecah RM3,215/mt.
Berdasarkan kepada perkembangan yang amat positif itu tambahnya, permodalan pasaran kumpulan perladangan berkenaan setakat 30 September 2025, sudah mencatatkan nilai sebanyak RM22.94 bilion.
Walaupun mencatatkan pertumbuhan untung bersih yang kukuh, prestasi KLK turut sedikit terjejas oleh beberapa faktor kerugian secara bukan tunai dan cabaran dalam segmen hiliran tertentu.
"Antaranya kumpulan merekodkan kerugian RM187.5 juta oleh syarikat sekutu, Synthomer PLC, meliputi perkongsian kerugian dan kemerosotan nilai akibat permintaan rendah dari sektor kimia," tambahnya.
Di samping itu, sebanyak RM157.2 juta kerugian disebabkan pertukaran asing yang belum direalisasi dicatatkan, berpunca daripada terjemahan pinjaman antara syarikat dalam mata wang bukan ringgit.
Bahagian pembuatan juga mencatatkan kerugian sebelum cukai RM173.6 juta berbanding keuntungan pada tahun sebelumnya, susulan margin yang ketat, kos permulaan fasiliti baharu, dan persaingan sengit.
Bagaimanapun, bersandarkan perolehan sesaham 73.9 sen, Lembaga Pengarah KLK mengesyorkan dividen akhir 40 sen sesaham, dengan tambahan dividen interim 20 sen yang sudah dibayar sebelum ini.
"Jumlah keseluruhan pengagihan dividen bagi FY25 adalah sebanyak 60 sen sesaham, iaitu masih lagi menyamai kadar bayaran dividen kepada semua pemegang saham kumpulan ini pada FY24," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif KLK Tan Sri Lee Oi Hian dalam kenyataan berkenaan menjangkakan kumpulan tersebut berupaya mencatatkan prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan 2026 pula.
Ketahanan model perniagaan secara bersepadu yang dilaksanakan syarikat berkenaan dan pengukuhan bahagian perladangan dijangka terus menjadi tunjang kepada hasil kumpulan pada masa hadapan.
KLK kini kata beliau menguruskan kira-kira 300,000 hektar kawasan tanaman di Malaysia, Indonesia, dan Liberia, dengan fokus utama kekal kepada pembangunan minyak sawit dan getah. - DagangNews.com








