KUALA LUMPUR 24 Mac - Kuala Lumpur Kepong (KLK) dijangka mash lagi berupaya mencatatkan pendapatan teguh meskipun berdepan isu pertumbuhan buah tandan segar (FFB) kelapa sawit yang terjejas disebabkan faktor hujan lebat, kata RHB Investment Research.
Firma penyelidikan itu berkata, cuaca buruk di semua wilayah ladang syarikat berkenaan pada empat bulan pertama tahun ini (4MFY25) diunjurkan boleh menyaksikan kemerosotan hasi tuaian komoditi tersebut kurang sebanyak satu peratus sahaja.
Pihak pengurusan syarikat berkenaan sendiri ketika ditinjau ada memberi petunjuk bahawa isu keadaan cuaca yang hujan secara berterusan sepanjang Februari telah mengakibatkan pertumbuhan negatif direkodkan berlaku bulan ke bulan.
"Bagaimanapun KLK kekal berharap supaya pertumbuhan FFB yang positif untuk FY25 apabila cuaca kembali normal walaupun lebih rendah daripada sasaran pertumbuhan antara 10 hingga 12 peratus yang telah dianggarkan," katanya dalam satu nota kajian.
Perkembangan yang positif itu kata RHB Reserach, didorong oleh keadaan banyak ladangnya di Indonesia apabila berjaya mencatatkan pengeluaran meningkat hampir 100 peratus suku ke suku pada 1QFY25 berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya.
Justeru, firma penyelidikan tersebut mengurangkan andaian pertumbuhan FFB keseluruhannya kepada 4 hingga 7 peratus daripada 6 hingga 8 peratus untuk FY25 hingga FY27 dengan terus mengekalkan saranan "beli" kepada dagangan saham KLK.
Ia juga telah menaikkan harga sasaran (TP) sesaham syarikat perladangan tersebut kepada RM25.40 berbanding RM24.80 dengan situasi pertumbuhan diunjurkan boleh menaik 20 peratus dan hasil bertambah sebanyak dua peratus pada FY25.
"Kami kekal yakin dengan prospek KLK selepas berbincang dengan pihak pengurusannya dan mereka masih begitu optimis bahawa FY25 sepatutnya boleh membawa pendapatan yang lebih kukuh kepada syarikat," kata RHB Research.
Andaian tersebut kata firma penyelidikan berkenaan, berdasarkan jangkaan pengeluaran FFB dari kawasan penanaman kelapa sawit di Indonesia yang kembali pulih manakala kos pertanian mungkin akan menjadi sederhana lagi.
Bagaimanapun katanya, margin penapisan negatif kekal sebagai titik sakit dan KLK didagangkan di pasaran pada 19 kali harga kepada nisbah hasil (P/E) 2025 yang munasabah, berbanding julat rakan setaranya antara 18 hingga 23 kali. - DagangNews.com








