BEBERAPA tahun lalu, warganet tempatan pernah kecoh dengan laporan mengenai rancangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membina Terminal 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pelan Induk KLIA 2020 mendedahkan, hab udara utama negara memerlukan satu lagi terminal penumpang komersial untuk menangani kesesakan di Terminal 1 dan Terminal 2.
Ilustrasi Terminal 3 pernah tular di media sosial, mencetuskan harapan tinggi rakyat terhadap projek mega tersebut.
Isu ini kembali hangat apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada 23 Mei 2024 mengesahkan kerajaan bersetuju membina terminal baharu khusus bagi operasi umrah dan haji.
Ia turut disambut baik Lembaga Tabung Haji (TH), sejajar dengan misi menjadikan KLIA hab umrah rantau ASEAN.
Bayangkan, setiap hari lebih 10 penerbangan ke Jeddah atau Madinah dilaksanakan oleh pelbagai syarikat penerbangan termasuk Saudi Airlines, Etihad Airways, Emirates, Turkish Airlines dan Air Arabia. KLIA bukan sahaja menjadi pilihan jemaah tempatan, malah warga asing rantau ini kerana kos tiket lebih kompetitif.
Setiap tahun selepas pandemik Covid-19, dianggarkan lebih 400,000 rakyat Malaysia menunaikan umrah, menjadikan negara ini antara penyumbang terbesar kehadiran jemaah di Makkah.
Artikel berkaitan: Cadangan Terminal 3 operasi haji, umrah dibina di KLIA belum pernah diterima MAHB

Namun, perkembangan terbaharu agak mengecewakan. Pada 20 Februari 2025, Anthony Loke menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa Terminal 3 hanya akan dibina selepas Terminal 2 mencapai kapasiti maksimum 45 juta penumpang setahun (mppa).
Malah, pada 18 Julai 2025, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani mengesahkan tiada cadangan konkrit mengenai Terminal 3 buat masa ini, meskipun MAHB sedia bekerjasama jika diperlukan.
Pun begitu, Ketua Pegawai Penerbangan dan Strategi MAHB, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin pada 18 Ogos 2025 mengakui, Terminal 3 kekal dalam Pelan Induk KLIA dan sedang diteliti semula agar pembinaannya sepadan dengan unjuran pertumbuhan penumpang.
Persoalannya: mengapa perlu menunggu sehingga Terminal 1 dan Terminal 2 mencapai kapasiti penuh sebelum memulakan pembinaan? Bukankah ketika itu kos lebih tinggi dan jadual lebih mendesak?
Alternatif lain, seperti pembangunan Satelit B di sebelah Satelit A Terminal 1, juga sering dibangkitkan kerana tapak sudah tersedia — bahkan model replikanya pernah dipamerkan kepada umum — tetapi terus dibiarkan kosong.

KLIA: Reka Bentuk Jangka Panjang, Potensi Belum Dimanfaatkan
KLIA asalnya dibangunkan bagi menggantikan Lapangan Terbang Subang yang sudah sesak. Dari sudut perancangan, KLIA direka untuk menampung sehingga lima terminal penumpang, tidak termasuk Kompleks Bunga Raya serta kompleks kargo.
KLIA antara lapangan terbang terbesar di dunia, meliputi 10,000 hektar — lebih luas daripada Putrajaya — namun hingga kini hanya dua terminal utama beroperasi. Sebagai perbandingan:
* Changi, Singapura (13 km²) – 4 terminal
* Jakarta, Indonesia (18 km²) – bakal ada 4 terminal menjelang 2027
* Suvarnabhumi, Bangkok (32 km²) – sedang menambah terminal ketiga
Sedangkan KLIA memiliki tanah jauh lebih besar dan perancangan jangka panjang kapasiti 100 juta penumpang setahun.

Faktor Strategik dan Ekonomi: Manfaat Lebih Luas
Pembinaan Terminal 3 bukan sekadar soal kapasiti, tetapi strategi jangka panjang meningkatkan daya saing KLIA di peringkat serantau.
Terminal baharu membolehkan pemisahan operasi, penumpang dan penerbangan khusus, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kecekapan.
Dari sudut ekonomi, projek berskala besar ini bakal merangsang:
* Peluang pekerjaan – ribuan kerja dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, logistik dan perkhidmatan lapangan terbang.
* Rantaian industri – kontraktor tempatan dan asing, pembekal bahan binaan, arkitek dan perunding.
* Pertumbuhan perniagaan – kedai runcit, restoran, kafe dan butik bebas cukai baharu untuk usahawan tempatan dan francais antarabangsa.
* Pelancongan – kemudahan bertambah baik menarik lebih ramai pelancong, memberi limpahan kepada hotel, pengangkutan awam dan pusat beli-belah.
* Hasil negara – cukai korporat, peningkatan Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) dan potensi pelaburan asing baharu.

Bukan sekadar penuhi kapasiti
KLIA memerlukan tambahan terminal, bukan hanya kerana kapasiti, tetapi sebagai pelaburan strategik jangka panjang.
Pembinaan Terminal 3 wajar dipercepatkan bagi memastikan KLIA terus relevan, berdaya saing dan kekal sebagai hab penerbangan utama Asia Tenggara.
MAHB dan kerajaan perlu melihat projek ini bukan sebagai beban, tetapi sebagai pemangkin ekonomi dan simbol keyakinan terhadap masa depan industri penerbangan negara. - DagangNews.com








