KLIA perkenalkan dua lagi laluan baharu dari China - MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLIA perkenalkan dua lagi laluan baharu dari China - MAHB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mac — Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan terdapat dua lagi laluan baharu berjadual dari China menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditawarkan oleh dua syarikat penerbangan komersial negara berkenaan.
 

Katanya, pengenalan dua destinasi tersebut terus mengukuhkan tahap hubungan antarabangsa terminal berkenaan sebagai pintu masuk hab utama Malaysia bagi operator pengangkutan awam udara dari pelbagai negara.
 

"China Southern Airlines (CZ) melancarkan perkhidmatan baharu yang menghubungkan Urumqi (URC) ke Kuala Lumpur (KUL) melalui Guangzhou (CAN) serta beroperasi sebanyak dua kali setiap minggu dengan pesawat Boeing B737-8," kata MAHB dalam satu kenyataan. 
 

CZ tambah kenyataan itu, merupakan syarikat penerbangan tunggal untuk laluan tersebut dengan menawarkan peluang baharu kepada sektor perdagangan, pelancongan serta pertukaran budaya antara wilayah barat laut China dan Malaysia.
 

Selain itu kata MAHB, syarikat China Eastern Airlines (MU) juga memulakan perkhidmatan penerbangan rutin secara harian baharu dari ibu wilayah Shaanxi iaitu Xi’an (XIY) ke KUL melalui Kunming (KMG) dengan menggunakan pesawat Airbus A320.
 

Dengan pengenalan perkhidmatan terbaharu ini, MU menyertai AirAsia X (D7) sebagai operator penerbangan yang kedua mengendalikan laluan ke bandar raya tersebut, serta memberikan para pelancong dengan lebih fleksibiliti dan kemudahan akses.

 
Sementara itu menurut Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, penambahan perkhidmatan penerbangan antarabangsa ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memperluaskan lagi ketersambungan dan meningkatkan pilihan perjalanan untuk penumpang.
 

"Ini sejajar dengan tumpuan pemegang saham baharu kami untuk meluaskan kesalinghubungan dan memacu pertumbuhan. Usaha sebegini penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dan menyokong persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
 

Pada Februari 2025, MAHB merekodkan seramai 8.3 juta penumpang di keseluruhan 39 lapangan terbangnya di seluruh negara ini yang terdiri daripada masing-masing 4.3 juta penumpang antarabangsa dan sejumlah empat juta penumpang domestik.
 

Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (SAW) di Türkiye yang turut diuruskan MAHB mengendalikan sejumlah 3.3 juta penumpang pada bulan itu dengan trafik antarabangsa seramai dua juta penumpang, manakala trafik domestik mencecah 1.3 juta. - DagangNews.com