KUALA LUMPUR 1 Dis – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melaksanakan penguatkuasaan penuh Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) mulai 1 Disember 2025, susulan kejayaan tempoh percubaan selama tiga bulan yang menunjukkan penurunan ketara kesesakan trafik di terminal berdekatan.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini berkata, data sepanjang tempoh percubaan membuktikan keberkesanan VAMS apabila peratusan kenderaan yang melebihi had masa 10 minit di bahu jalan terminal berjaya dikurangkan daripada 50% kepada 21%, sekali gus mencerminkan tahap pematuhan pengguna yang tinggi serta pengurangan kesesakan yang ketara.
Menurut MAHB, dapatan itu mengesahkan keperluan untuk beralih kepada fasa penguatkuasaan penuh secara berperingkat bagi memastikan kelancaran aliran trafik, membanteras kegiatan ulat darat serta meningkatkan tahap keselamatan dan sekuriti di kawasan terminal.
Pengarah Urusan MAHB, Dato’ Mohd Izani Ghani berkata, data percubaan menunjukkan kesesakan di bahu jalan terminal akan berkurangan dengan ketara apabila pengguna mematuhi had masa 10 minit yang ditetapkan.
“Sebahagian besar pengguna KLIA telah mematuhi peraturan ini. Dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Disember di Terminal 1 (T1), kami memastikan akses terminal kekal teratur dan semua pengguna mempunyai peluang yang adil untuk menggunakan lorong menurunkan dan mengambil penumpang dengan cekap. Konsistensi ini amat penting ketika kita memasuki musim puncak perjalanan hujung tahun serta persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
VAMS menggunakan sistem Pembaca Plat Nombor Kenderaan (LPR) bagi merekod masa kemasukan sebenar setiap kenderaan dengan tempoh pelepasan percuma 10 minit bagi tujuan menurunkan dan mengambil penumpang.
Paparan digital di lokasi akan menunjukkan nombor plat kenderaan yang melebihi had masa, manakala tempoh keseluruhan akan dikira secara automatik ketika keluar.
Kenderaan yang melebihi had masa akan dikenakan penalti sehingga maksimum RM100, dengan bayaran boleh dibuat menggunakan Touch ‘n Go, kad kredit dan MyDebit.
Struktur penalti yang ditetapkan adalah seperti berikut:
• Percuma: <10 minit
• RM10.00: 10:01 – 15:00 minit
• RM30.00: 15:01 – 20:00 minit
• RM60.00: 20:01 – 25:00 minit
• RM100.00: 25:01 – 30:00 minit
Menurut MAHB, pendekatan penguatkuasaan bersasar ini bertujuan memastikan lorong sentiasa tersedia untuk kegunaan penumpang serta mengekalkan aliran trafik yang teratur di kawasan terminal.
Bagi pemandu yang memerlukan masa menunggu lebih lama, beberapa alternatif parkir turut disediakan termasuk Tempat Letak Kereta Jangka Pendek (STCP) dengan 15 minit parkir percuma, Tempat Letak Kereta Jangka Panjang (LTCP) dengan 30 minit parkir percuma, serta Kawasan Menunggu Awam KLIA yang disediakan secara percuma sebagai zon menunggu khas. - DagangNews.com








