KKB Engineering sasar tender bernilai RM1 bilion bermula 1QFY26, RHB Research kekal saran ‘beli’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KKB Engineering sasar tender bernilai RM1 bilion bermula 1QFY26, RHB Research kekal saran ‘beli’

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 JanKKB Engineering Berhad menyasarkan untuk menyertai pelbagai tender berkaitan fabrikasi minyak dan gas (O&G) bernilai sekitar RM1 bilion bermula 1QFY26, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kadar kejayaan daripada kontrak baharu itu namun dianggarkan mampu mencecah antara 30% hingga 40%, berdasarkan rekod pengalaman serta risiko sebelum ini.


Kumpulan berkenaan tambahnya lagi, setakat ini turut memiliki buku tender semasa bagi segmen kejuruteraan, pembinaan dan pembuatan (ECM) yang dianggarkan sudah mencapai kira-kira RM700 juta.


"Sementara baki buku tempahan yang belum selesai dicatatkan oleh KKB Engineering pada akhir tempoh 4QFY25 pula berada sekitar RM55 juta," kata RHB Research dalam nota kajiannya hari ini.


Dalam pada itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ walaupun menurunkan harga sasaran kepada RM1.42 daripada RM1.47, yang masih menawarkan potensi kenaikan 20%, selain dividen 4% bagi FY26.


Katanya, kumpulan kejuruteraan berkenaan memulakan FY26 dengan positif selepas anak syarikat fabrikasi O&G, OceanMight, meraih kontrak PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi kerja-kerja EPC kecil.


Tender baharu subsidiari KKB Engineering itu jelas RHB Research, melibatkan struktur luar pesisir tetap dan kerja sambungan hos di Erb West di bawah projek Belud South Greenfield Development (GFD).


"Kontrak bernilai RM212 juta itu dijangka siap dalam tempoh 13 bulan bermula 15 Januari 2026, serta menjadi kemenangan kontrak pertama bagi FY26 dan yang paling besar sejak Januari 2023," katanya.


Menurutnya, kontrak ini hadir tepat pada masanya setelah bahagian kejuruteraan kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM7.4 juta pada 3QFY25, susulan beberapa projek utama menghampiri fasa penyiapan.


Bagi unjuran pendapatan, RHB Research menurunkan anggaran FY25 hingga FY27 antara 4% hingga 14%, namun mengekalkan penilaian berdasarkan nisbah nisbah kepada pendapatan sasaran 17 kali untuk FY26.


Ia pada masa sama, turut melihat potensi penilaian semula saham KKB Engineering disokong peruntukan pembangunan Sarawak yang lebih tinggi mencecah sebanyak RM6 bilion di bawah Belanjawan 2026.


"Kami turut optimis dengan prospek kumpulan dalam memperoleh peluang baharu yang membabitkan sektor infrastruktur air, khususnya projek bekalan air di Sabah," katanya. - DagangNews.com