KUALA LUMPUR 21 April – KKB Engineering Berhad mencatatkan penurunan ketara dalam prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 apabila keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM14.04 juta berbanding RM40.46 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan turut merosot dengan ketara kepada RM177.05 juta pada 2025 daripada RM634.26 juta pada 2024, iaitu penurunan sekitar 72 peratus, dipengaruhi oleh pengurangan aktiviti atau pengiktirafan hasil dalam segmen projek utama.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan sebelum cukai juga merosot kepada RM14.90 juta berbanding RM55.65 juta pada tahun sebelumnya.
“Keuntungan kasar pula ialah RM37.63 juta, merosot berbanding RM103.61 juta pada 2024, manakala margin turut terjejas susulan kos jualan yang kekal tinggi pada RM139.42 juta berbanding hasil yang lebih rendah,” katanya dalam makluman tersebut.
Dari sudut struktur kewangan, kumpulan mencatat peningkatan besar dalam ekuiti bukan kawalan kepada RM168.26 juta berbanding RM53.75 juta pada tahun sebelumnya, sebahagiannya disokong oleh penerbitan redeemable preference share (RPS) oleh subsidiari berjumlah RM115 juta.
Dalam masa sama, aliran tunai daripada aktiviti operasi kekal positif pada RM31.24 juta, namun sebahagiannya diimbangi oleh aliran keluar pelaburan sebanyak RM25.18 juta serta pembayaran dividen kepada pemegang saham berjumlah RM21.65 juta.
KKB Engineering merupakan syarikat kejuruteraan dan pembuatan yang berfokus kepada sektor fabrikasi keluli, pembinaan, dan pengeluaran seperti silinder gas LPG serta paip keluli. Aktiviti utamanya merangkumi kerja-kerja fabrikasi struktur keluli untuk industri minyak dan gas, pembinaan kemudahan industri, serta perkhidmatan galvanising untuk perlindungan besi.
Selain itu, KKB turut mengendalikan beberapa kilang di Sarawak dan Sabah yang menyokong pengeluaran produk kejuruteraan seperti paip dan komponen industri.
Dari segi prestasi operasi, KKB banyak bergantung kepada projek-projek besar dalam sektor minyak dan gas, terutamanya daripada pelanggan seperti Petronas, Shell dan syarikat berkaitan.
Pada FY2025, kumpulan berjaya menyiapkan beberapa projek utama seperti projek Shell dan Samsung, menunjukkan keupayaan pelaksanaan projek yang kukuh walaupun berdepan tekanan kos bahan dan operasi.
KKB juga terus mengembangkan kehadirannya dalam projek EPC serta memperkukuh kedudukan melalui kerjasama strategik dan kontrak baharu seperti projek Petronas Carigali yang diperoleh pada 2026.
Dari sudut strategi jangka panjang, KKB memberi fokus kepada pendigitalan operasi, pengukuhan sistem ERP, serta penggunaan teknologi seperti perancangan 4D dan automasi bagi meningkatkan kecekapan. - DagangNews.com








