KUALA LUMPUR 21 April – Pengendali rangkaian kedai serbaneka KK Mart Retail Bhd telah memfailkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas perancangan itu tertangguh beberapa tahun sebelum ini.
Rancangan penyenaraian tersebut sebelum ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh satu hingga tiga tahun bermula Mei 2023, namun tertangguh susulan kontroversi pada Mac 2024 melibatkan penjualan stoking yang tertera perkataan “Allah” di salah satu cawangan KK Mart.
IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 210 juta saham baharu serta tawaran jualan 630 juta saham sedia ada, dengan harga yang akan ditentukan kemudian. Secara keseluruhan, penyenaraian itu akan menawarkan sehingga 24% pegangan dalam syarikat.
Daripada jumlah tersebut, tawaran institusi membabitkan 735 juta saham yang akan diperuntukkan menerusi proses pembinaan buku pesanan manakala tawaran runcit pula melibatkan 105 juta saham untuk pelabur individu yang layak.
Selepas penyenaraian selesai, pegangan pemegang saham utama iaitu Datuk Seri Dr Chan Kee Kan dan isterinya Datin Seri Loh Siew Mui melalui K8 Resources Bhd akan berkurang kepada 71.85% daripada 95.05% sebelum ini.
Chan yang juga Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan kumpulan, merupakan pengasas KK Mart pada tahun 2001 di Kuchai Lama sebelum mengembangkan perniagaan tersebut menjadi antara rangkaian kedai serbaneka terbesar di negara ini.
Ketika ini, KK Mart mengendalikan sebanyak 996 cawangan di seluruh Malaysia dengan sebahagian besar daripadanya beroperasi 24 jam sehari, menjadikannya antara rangkaian runcit terbesar di negara ini.
Syarikat itu merancang untuk memperluaskan lagi rangkaian perniagaannya dengan membuka 302 cawangan baharu dalam tempoh 15 bulan akan datang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada 1,290 cawangan.
Hasil daripada IPO berkenaan akan digunakan untuk tujuan pengembangan rangkaian kedai, pembinaan dan naik taraf pusat pengedaran, pelaburan dalam sistem digital serta teknologi maklumat, selain pembayaran semula pinjaman bank.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025), KK Mart mencatat keuntungan bersih sebanyak RM96.98 juta, menurun 4.5% berbanding RM101.6 juta pada tahun sebelumnya, walaupun hasil meningkat 7.7% kepada RM1.57 bilion.
Maybank Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin tunggal, penaja utama serta ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com








