KUALA LUMPUR 3 Nov - Malacca Securities masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap KJTS Group Berhad dengan harga sasaran (TP) RM2.00 sesaham, berdasarkan kepada beberapa perkembangan positif.
Antaranya kata firma penyelidikan itu termasuk pemeteraian perjanjian tambahan syarikat tersebut dengan Pacific Trustees Berhad bagi mengendalikan satu lagi lokasi baharu iaitu KIPMall Desa Coalfields.
Katanya, kontrak terkini berkenaan menjadikan jumlah liputan kumpulan perkhidmatan pengurusan tenaga tersebut meningkat daripada tujuh kepada lapan pusat beli-belah KIPMall di Semenanjung Malaysia.
"Perjanjian ini melibatkan jumlah perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM22.9 juta untuk kesemua lapan lokasi, dengan yuran bekalan air sejuk tetap RM1.6 juta setahun," kata Malacca Securities.
Kerja-kerja pengubahsuaian kata firma itu dalam notanya, sudah bermula pada April 2025 dan siap menjelang Julai 2026, sebelum perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan diteruskan sehingga 2046.
Firma berkenaan turut menilai pemerolehan kontrak baharu tersebut sebagai langkah berterusan KJTS sendiri untuk mengukuhkan asas pendapatannya secara berulang dan stabil dalam jangka panjang.
Kontrak ini kata Malacca Securities, diberikan Pacific Trustee sebagai pemegang amanah KIP REIT, yang memiliki kadar penghunian 97.8% serta penyewa utama termasuk Econsave, Jaya Grocer dan Giant.
"Dengan ruang boleh disewa bersih hampir 190,000 meter persegi dan nilai aset dianggarkan RM1.4 bilion, KIP REIT menawarkan potensi pengembangan masa depan bagi KJTS," katanya dalam nota kajian.
Ini jelas firma penyelidikan berkenaan, termasuk lokasi komersial popular seperti Aeon Mall Kinta City dan TF Value Mart Hypermarket yang masih belum lagi menggunakan sebarang perkhidmatan KJTS.
Bagaimanapun kata Malacca Securities, memandangkan kontrak baharu itu selaras dengan jangkaannya, ia mengekalkan unjuran pendapatan yang sedia ada selain saranan dan TP yang jua tidak berubah.
Perkembangan tersebut katanya, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 45 kali terhadap unjuran keuntungan bersih sesaham (EPS) syarikat berkenaan pada FY26 iaitu 4.44 sen.
"Kami menilai KJTS memiliki rekod prestasi kukuh, kontrak jangka panjang stabil, dan peluang perluasan bersama pelanggan utama dalam segmen perkhidmatan mampan," katanya. - DagangNews.com








