KUALA LUMPUR 5 Dis – MAG Holdings Berhad melaporkan keputusan 15MFY25 yang tidak boleh dibuat perbandingan secara terus dengan jangkaan sebelumnya berikutan lanjutan tempoh kewangan.
Mercury Securities berkata, tempoh tambahan kepada 18 bulan sehingga 31 Disember 2025 itu meskipun mengganggu kitaran pelaporan, namun menegaskan prestasi asas kumpulan akuakultur itu tetap kukuh.
Firma penyelidikan tersebut menambah, dengan kadar keuntungan secara sukuan (QoQ) yang dinormalkan mencapai 25% daripada unjurannya pada FY26, laporan kewangan baharu diramal selaras jangkaan.
"Berdasarkan perkembangan semasa itu, kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran 22 sen sesaham berdasarkan unjuran FY27 yang dianggap masih murah berbanding rakan industri," katanya.
MAG jelas Mercury Securities, mencatatkan pendapatan RM464.2 juta, naik 58.9% tahun ke tahun (YoY), dipacu tempoh pelaporan kewangan yang lebih panjang dan volum jualan semakin tinggi.
Bagaimanapun katanya, margin kasar menyusut ke paras normal iaitu 21.3%, manakala margin perolehan sebelum cukai merosot ke 20.1% akibat kos operasi lebih tinggi dan pendapatan lain yang rendah.
Prestasi margin secara keseluruhan tambah firma penyelidikan itu, adalah masih lagi selari dengan unjurannya untuk FY26 dengan untung kasar 23%, dan keuntungan selepas cukai (PAT) adalah 14%.
"Secara QoQ, hasil turun 8.9%, konsisten corak bermusim syarikat, dengan margin perbelanjaan operasi baik kepada 2.1% berbanding 6.1% sebelumnya, setelah kos bukan berulang selesai," katanya.
"Namun, kadar cukai berkesan yang dikenal pasti adalah lebih tinggi menyebabkan margin PAT untuk MAG susut pula kepada hanya 8.3% daripada kira-kira 13.1% sebelumnya," tambah Mercury Securities.
Sehubungan itu, firma tersebut berpandangan yang pertumbuhan kumpulan ini akan diteruskan melalui teras perniagaannya dalam akuakultur dan perdagangan makanan, diperkukuh oleh pelbagai faktor.
Ini termasuk peningkatan kecekapan penternakan, penggunaan teknologi kebun pintar, serta perluasan rangkaian pengedar dan pemasaran, walaupun persekitaran luar adalah kekal mencabar syarikat itu.
Model operasi bersepadu MAG kata Mercury Securities, dijangka menyokong prestasi stabil menjelang 2026 dan berikutan lanjutan tempoh kewangan, unjuran FY25 dinaikkan 45% bagi hasil dan keuntungan.
"Anggaran FY26 dan FY27 namun dikekalkan kerana kembali kepada kitaran operasi 12 bulan, disokong dengan diskaun 15% kepada purata perolehan rakan industri," katanya. - DagangNews.com








