Kitaran pelaburan sektor utiliti dipacu isu bekalan elektrik kurang 5GW menjelang 2030, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kitaran pelaburan sektor utiliti dipacu isu bekalan elektrik kurang 5GW menjelang 2030, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac – Risiko kekurangan bekalan elektrik melebihi 5 gigawatt (GW) menjelang 2030 di seluruh Malaysia mendorong Suruhanjaya Tenaga (ST) melancarkan tender kedua loji jana kuasa gas.


Menurut penganalisis, langkah berkenaan sekali gus mengesahkan bermulanya kitaran pelaburan baharu sektor utiliti negara dan memacu mereka mengekalkan pandangan positif terhadap sektor utiliti.


Tambah dua firma penyelidikan tersebut, perkembangan itu disokong permintaan kukuh daripada pusat data (DC), serta keterlihatan pertumbuhan jangka panjang di bawah agenda peralihan tenaga negara.


CGSI berkata ST pada 28 Februari 2026 melancarkan permintaan cadangan (RFP) baharu, NEWGEN26 bagi kapasiti jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia, susulan kejayaan tender pertama, NEWGEN25 lalu.


"Tarikh operasi komersial disasarkan antara 2029 hingga 2031, dan bidaan dibuka mulai 2 Mac hingga 1 Julai 2026," jelasnya. Di bawah NEWGEN25, Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul pemenang tunggal.


Menurut firma berkenaan, langkah suruhanjaya itu mencerminkan komitmen kerajaan menangani jurang bekalan berikutan pertumbuhan permintaan elektrik yang pesat dan penamatan operasi loji lama.


Bagi NEWGEN26, CGSI melihat Malakoff Corporation Berhad, YTL Power International Berhad dan Edra Power Holdings sebagai antara pesaing utama, selain potensi penyertaan PETRONAS Gas Berhad.


Ia menganggarkan kira-kira 9GW kapasiti sedia ada akan tamat tempoh menjelang 2030, manakala TNB sudah menandatangani perjanjian bekalan berjumlah sekitar 7.5GW dengan pengendali DC setakat 4Q25.


"Situasi itu mewujudkan jurang bekalan yang memerlukan banyak projek baharu. Maka kami mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor utiliti dengan TNB dan Malakoff sebagai pilihan," katanya.


Dua syarikat tersebut jelas CGSI, mempunyai kedudukan yang kukuh dalam kapasiti terkawal dan projek boleh dilaksanakan dengan lengkap termasuk menerusi segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).


Sementara itu, RHB Research menyatakan keputusan kewangan bagi 4Q25 ke atas sektor utiliti secara keseluruhan menepati jangkaan, dengan majoriti syarikat yang bermodal besar memenuhi unjuran.


Dalam kalangan pemain utama, TNB dan YTL Power mencatat prestasi selari jangkaan, dengan TNB meraih manfaat kadar cukai efektif rendah manakala YTL Power disokong sumbangan kukuh segmen air.


"Sebaliknya, PETRONAS Gas dan Malakoff mencatat keputusan di bawah jangkaan kami, masing-masing akibat kadar cukai dan perbelanjaan operasi tinggi serta gangguan loji arang batu," katanya.


Bagi segmen solar pula jelas RHB Research, Samaiden Group Berhad dinilai sebagai sudah mengatasi jangkaan firma penyelidikan tersebut susulan pengiktirafan kemajuan projek yang berskala utiliti,


Sementara Solarvest Holdings Berhad tambahnya, terus mencatat keputusan kewangan suku keempat bagi FY25 yang selari dengan buku tempahan meningkat ke paras rekod mencecah sebanyak RM1.5 bilion.


Dalam ruang utiliti air, Ranhill Utilities Berhad mencatat prestasi lebih baik berikutan margin lebih kukuh selepas pelarasan tarif, sementara Taliworks Corporation Berhad memenuhi jangkaan.


"Kami mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor utiliti dan TNB sebagai pilihan utama, kerana ia penerima manfaat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," kata RHB Research.


Secara keseluruhan, dua firma itu berpandangan sektor tersebut kini memasuki fasa pelaburan paling menarik dalam lebih sedekad, merangkumi perluasan kapasiti dan infrastruktur gas. - DagangNews.com