KUALA LUMPUR 8 Jun – Alam Maritim Resources Berhad kini bukan lagi syarikat dalam kategori Nota Amalan 17 (PN17) selepas Bursa Malaysia meluluskan permohonan untuk keluar lebih awal dari status tersebut yang berkuat kuasa mulai 9 pagi, 8 Jun 2026.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kelulusan tersebut diperoleh susulan permohonan yang dikemukakan pada 18 Mei lalu menurut Perenggan 8.04(8) Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.
Bursa Malaysia menerusi surat bertarikh 5 Jun 2026 telah meluluskan permohonan Alam Maritim untuk tidak lagi diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah kewangan kategori PN17.
Sebelum ini, syarikat perkhidmatan luar pesisir itu membuat permohonan tersebut selepas berjaya melaksanakan penstrukturan semula hutang dan penyusunan semula modal bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangannya.
Permohonan tersebut dibuat susulan kejayaan Alam Maritim menyempurnakan pengurangan modal saham bernilai RM440 juta pada Oktober tahun lalu sebagai sebahagian daripada pelan regularisasi kumpulan.
Pelaksanaan pelan itu turut melibatkan penyatuan saham 10 kepada satu, terbitan hak boleh lepas berserta waran serta skim pengaturan dengan pemiutang.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 (9MFY2026), Alam Maritim merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM100.2 juta berbanding RM43.9 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan prestasi itu didorong terutamanya oleh pengecualian hutang yang diiktiraf menerusi pelaksanaan penstrukturan semula kumpulan, khususnya dalam segmen kapal sokongan luar pesisir (OSV).
Bagaimanapun, hasil kumpulan susut 27.9% kepada RM281.8 juta berbanding RM390.6 juta sebelum ini disebabkan sumbangan lebih rendah daripada perniagaan perkhidmatan subsea dan OSV.
Alam Maritim mula diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada 2022 selepas juruaudit luar syarikat, Baker Tilly Monteiro Heng PLT, mengeluarkan penafian pendapat terhadap penyata kewangan teraudit kumpulan bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2022. - DagangNews.com








