KUALA LUMPUR 8 Jun — Harga kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) dijangka naik lebih RM300,000 susulan syarat import baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026, jelas MBSB Research.
Tambah firma penyelidikan itu, syarat ketat dikenakan kerajaan bakal mengubah landskap industri automotif negara daripada hanya galakan penggunaan kepada pengeluaran dan pemasangan tempatan.
Syarat minimum nilai kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000 serta kuasa motor minimum 180kW akan menyebabkan kebanyakan model import beralih ke segmen premium selepas tarikh tersebut.
"Perkembangan ini dijangka mempercepatkan usaha pemasangan tempatan (CKD), dan memberi kelebihan kepada jenama yang ada operasi pengeluaran domestik," tambah MBSB Research dalam analisisnya.
Pada suku pertama tahun kalendar 2026 (1QCY26), jualan EV di Malaysia meningkat 25.1% suku ke suku (QoQ) kepada 13,359 unit, mewakili 7.3% daripada jumlah volum industri (TIV) sebanyak 182,113 unit.
Ia namun berpandangan kadar penembusan EV sebenar berkemungkinan lebih tinggi kerana data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) tidak meliputi beberapa jenama utama yang tidak melaporkan jualan mereka.
MBSB Research berkata, daripada 20 model EV terlaris setakat ini, hanya lima model tidak terjejas oleh syarat baharu iaitu Proton e.MAS 5, Proton e.MAS 7, TQ Wuling Bingo, Volvo EX30 dan Zeekr 009.

"Dalam kalangan jenama EV utama bukan nasional, kebanyakannya sedia berubah, dengan iCaur akan memanfaatkan fasiliti kilang Chery Shah Alam, manakala MG dan XPeng dipasang di Melaka," ujarnya.
Selain itu jelasnya, Leapmotor sudah pun memulakan pengeluaran CKD di kilang Stellantis di Gurun, Kedah, manakala Zeekr merancang kemudahan pemasangan sendiri di Tanjung Malim, Perak pada 2027.
Menurut MBSB Research, Tesla kekal masih diimport sebagai CBU, manakala BYD berdepan risiko lebih besar sekiranya pelan pemasangan tempatannya tidak dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Walaupun terdapat kemungkinan berlaku peningkatan sementara pembelian EV sebelum pelaksanaan syarat baharu, firma itu menjangkakan permintaan akan mula beralih secara beransur-ansur kepada EV CKD.
"Di samping itu, kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), model hibrid dan pasaran kereta terpakai selepas stok yang sedia ada dijangka habis dijual selepas penguatkuasaan dasar baharu," katanya.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan unjuran TIV 2026 pada 788,000 unit, iaitu menyusut 4% tahun ke tahun (YoY) dan hampir selari dengan ramalan MAA sendiri sebanyak 790,000 unit tahun ini.
Bagi sektor automotif, firma itu terus memilih MBM Resources Berhad sebagai pilihan utama dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM6.14, disokong pendedahan kepada francais pasaran massa.
Ujarnya, pergerakan kadar tukaran yen Jepun yang memihak keuntungan syarikat bersekutu serta unjuran hasil dividen menarik sekitar 10% bagi tahun kewangan 2026 menyokong saham itu. - DagangNews.com








